Teka -teki terjawab MIC, Pejuang mohon sertai Perikatan Nasional

TEKA-teka ke mana hala tuju politik MIC terjawab apabila hari ini  Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan, parti komponen Barisan Nasional itu memohon menyertai Perikatan Nasional.

Selain itu Pengerusi PN itu juga memaklumkan bahawa parti Pejuang Tanahair  turut  memohon menyertai pakatan tersebut.

Bercakap pada sidang media selepas konvensyen Urimai di Shah Alam hari ini, Muhyiddin juga bekas Perdana Menteri berkata, permohonan MIC  akan dibincangkan dalam mesyuarat majlis pimpinan tertinggi PN, namun secara dasarnya, semua komponen mengalu-alukan kemasukan MIC.

“Saya maklum kepada Presiden dan Setiausaha Agung MIC bila selesai PRN Sabah kita akan mesyuarat dan bincang secara terperinci permohonan yang dibuat MIC.

“Keputusan muktamad akan dibuat bila mana majlis tertinggi PN mengadakan mesyuarat meneliti permohonan itu dan selepas itu kita akan maklum secara rasmi keputusan tentang penyertaan MIC dalam PN,’’ katanya.

Dengan permohonan MIC itu, ia bermakna kepimpinan parti tersebut membuat keputusan nekad meninggalkan Barisan Nasional (BN) yang disertai oleh MIC sejak 1954 ketika gabungan itu dikenali sebagai Perikatan.

 Haluan politik MIC mula menjadi tandatanya apabila pemimpin-pemimpin kanannya melahirkan rasa tidak puas hati kepada kepimpinan BN khususnya terhadap Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi.

Bagaimanapun tindakan MIC dijangka tidak akan dihalang oleh BN kerana Ahmad Zahid sebelum ini menyatakan akan menerima secara terbuka apa sahaja keputusan MIC.

Pada Perhimpunan Agung MIC ke-79 pada 16 November lalu Timbalan Presiden Datuk M Saravanan membentangkan usul keluar daripada BN dan memohon secara rasmi untuk menyertai PN.

Usul-usul tersebut dibahas namun tiada undian dijalankan kerana mesyuarat bersetuju untuk menyerahkan keputusan kepada kepemimpinan tertinggi MIC.

Mengenai parti Pejuang Tanahair yang dipimpin Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Muhyiddin berkata, PN memerlukan maklumat terperinci berhubung jawatankuasa, keahlian, bahagian dan cawangan parti itu.

“Bila bersidang nanti kita dapat maklumat lengkap untuk diambil kira dalam mesyuarat,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img