JUMLAH kematian akibat cuaca buruk yang melanda Sri Lanka telah melepasi angka 200 apabila meningkat kepada 212 orang, menurut laporan Pusat Pengurusan Bencana (DMC) hari ini.
DMC turut memaklumkan bahawa 218 orang masih hilang sementara operasi menyelamat dan bantuan terus dijalankan di beberapa daerah yang terjejas teruk.
Daerah Badulla mencatat jumlah korban tertinggi, dengan 71 kematian setakat ini. Selain itu, lebih satu juta penduduk telah terjejas oleh keadaan cuaca buruk itu.

Sri Lanka kini berdepan salah satu bencana alam paling dahsyat dalam sejarah negara itu, apabila Taufan Ditwah mengakibatkan hujan lebat tanpa henti, banjir kilat, dan tanah runtuh.
Dengan paras sungai meningkat , seluruh bandar ditenggelami air, jambatan utama hanyut, dan infrastruktur kritikal runtuh, skala kemusnahan semakin meningkat dengan cepat.
Bantuan antarabangsa kini sedang tiba ketika Sri Lanka bergelut mengurus krisis kemanusiaan yang semakin berkembang. Laporan langsung ini merakam setiap perkembangan penting yang berlaku dari semasa ke semasa.
Pasukan mencari dan menyelamat Sri Lanka dengan bantuan pasukan dari India terus memindahkan mangsa yang terperangkap di kawasan terjejas banjir melalui udara, selain menyalurkan bahan bantuan.
Bencana itu mengakibatkan lebih 5,000 rumah musnah atau rosak sebahagiannya, jalan raya serta jambatan hanyut dan turut merosakkan talian elektrik.


