SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pengarah institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) di Kedah bagi membantu siasatan menggunakan kedudukannya sebagai pengerusi koperasi dengan melantik syarikat milik anaknya untuk kerja pembekalan kain batik bernilai kira-kira RM16,000.
Suspek wanita berusia lingkungan 50-an itu ditahan kira-kira jam 1 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sungai Petani.
Menurut sumber, perintah reman selama lima hari hingga 10 Januari terhadap suspek dikeluarkan selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Sungai Petani, pagi ini.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan itu sekitar Ogos 2024 di mana pembekalan kain batik tersebut bertujuan untuk pembuatan baju batik tenaga pengajar dan kakitangan institusi berkenaan,” kata sumber itu, lapor FMT.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kes ini disiasat bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.


