KOMANDO Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4, Thailand dan agensi kerajaan negara itu menghormati keputusan penganjur membatalkan ceramah oleh Ustaz Azhar Idrus dan Ustad Abdul Somad pada Khamis ini di Stadium Wilayah Pattani.
Sehubungan itu Pusat Perhubungan Awam Ibu Pejabat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 Hadapan dalam satu kenyataan meminta agar pembatalan program itu tidak diputarbelitkan atau disalahtafsirkan sehingga menimbulkan salah faham.
‘’Kami menghormati keputusan tersebut memandangkan tekanan dan halangan daripada individu yang berniat jahat yang menyasarkan kerjasama bersama,’’ kata kenyataan tersebut.
Kenyataan itu dibuat selepas tersebar tohmahan yang dipercayai dilakukan oleh puak pemisah kononnya pihak tentera akan menghalang program tersebut sekaligus boleh mengancam nyawa kedua-dua ulama berkenaan.
Menjawab tohmahan itu , Komando Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4, Thailand menegaskan, sejak dari awal lagi program mahu diadakan, mereka berinteraksi dengan penganjur bagi memastikan acara berjalan lancar dan berada dalam kerangka undang-undang.
‘’Agensi berkaitan telah dijemput ke mesyuarat persediaan mengenai langkah-langkah keselamatan, pengurusan lalu lintas dan garis panduan untuk penjagaan para hadirin. Untuk menanamkan keyakinan dalam semua sektor, Ibu Pejabat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 Hadapan dan agensi kerajaan juga telah memberi maklum balas dan memberikan sokongan.
‘’Ia termasuk dalam aspek berkaitan seperti menyelaras perjalanan penceramah, memudahkan aktiviti di kawasan tersebut, dan mengerahkan anggota keselamatan untuk memastikan acara berjalan lancar dan memberi manfaat kepada masyarakat secara keseluruhan,’’ kata kenyataan itu.
Tegas pasukan komando itu, kelulusan diberikan untuk program itu memandangkan ia bertujuan untuk menyebarkan prinsip agama yang betul, menggalakkan moral dan etika, dan menyokong kewujudan bersama secara aman dalam masyarakat pelbagai budaya.
‘’Oleh itu, kelulusan telah diberikan dan tiada dasar yang menghalang sebarang aktiviti keagamaan yang membina dan mengikut undang-undang,’’ kata kenyataan berkenaan.
Berikutan pembatalan itu, Ustas Abdul Somad akan menyampaikan ceramah perdana di Pantai Seri Tujuh, Pengkalab Kubor, Tumpat pada Khamis ini. Majlis tersebut dijangka bermula pada pukul 6.30 petang.


