Restoran didenda jual nasi beriani tercemar, pekerja pula tak pakai apron

SEBUAH restoran dan seorang pengendali makanan masing-masing didenda oleh Mahkamah Majistret Pontian hari ini selepas mengaku bersalah atas kesalahan menjual makanan tercemar serta gagal mematuhi peraturan kebersihan ketika mengendalikan makanan.

Majistret Nurhafizah Haron menjatuhkan denda RM3,000 terhadap sebuah restoran selepas didapati menjual makanan yang tercemar dengan mikroorganisma patogenik kepada pelanggan.

Mengikut pertuduhan, restoran yang terletak di daerah Pontian didakwa menjual nasi beriani kepada seorang pelanggan yang didapati tercemar dengan mikroorganisma patogenik pada kira-kira jam 4.30 petang, 25 Februari lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Peraturan 39(2) Peraturan-Peraturan Makanan 1985 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), Mohamad Shah Mustapha.

Dalam prosiding berasingan, seorang wanita berusia 26 tahun yang merupakan pengendali makanan turut didenda RM500 atau penjara seminggu selepas mengaku bersalah kerana tidak memakai apron ketika menjalankan tugas di sebuah premis makanan di Benut pada 26 Januari lalu.

Dia didakwa mengikut Peraturan 32(1)(b) Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1,000.

Pendakwaan bagi kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa JKNJ, Mohd Mirdza Abu Hassan.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengingatkan semua peniaga supaya sentiasa mematuhi peraturan serta mengutamakan aspek kebersihan ketika mengendalikan makanan bagi mengurangkan risiko pencemaran dan menjamin keselamatan pengguna.

KKM turut menegaskan aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan ke atas premis makanan akan terus dipertingkat bagi memastikan pematuhan terhadap Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img