Tiada halangan bangkitkan isu keluar kerajaan dan kerjasama dengan Pas pada PAU 2025 – Asyraf Wajdi

UMNO tidak menghalang perwakilan parti untuk membangkitkan isu desakan daripada Kerajaan Perpaduan atau isu hubungan kerjasama dengan Pas pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 yang akan diadakan minggu depan.

Setiausaha Agung parti itu, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, meskipun setakat ini daripada keseluruhan 662 usul yang telah diterima ibu pejabat UMNO tiada yang menyentuh kedua-dua isu berkenaan, para perwakilan masih dibenarkan untuk menyentuh isu tersebut.

DATUK Dr Asyraf Wajdi Dusuki menunjukkan sebahagian daripada cenderahati istimewa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 pada sidang media khas sempena PAU 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur petang ini. GAMBAR: Mohamad Redzwuan Mansor

Daripada keseluruhan usul itu kata beliau, sebanyak 104 usul diterima membabitkan pengampunan ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini berdepan hukuman penjara atas kesalahan pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Katanya lagi, UMNO tidak pernah menghalang sebarang isu untuk dibangkitkan memandangkan PAU menjadi medan untuk pemimpin mendengar suara ahli akar umbi.

“Berdasarkan usul yang dihantar secara rasmi, tidak ada satu pun yang membawa cadangan supaya UMNO keluar daripada Kerajaan Perpaduan, begitu juga usul kerjasama dengan parti lain termasuk Pas.

“Tetapi seperti biasa kita tidak pernah menghalang jurucakap negeri dan sayap untuk menyentuh isu tersebut,” katanya yang tidak menolak kemungkinan isu itu bakal dibangkitkan.

Asyraf Wajdi berkata demikian dalam sidang media khas sempena PAU 2025 yang akan berlangsung dari 14 hingga 17 Januari depan.

Gesaan supaya UMNO keluar daripada Kerajaan Perpaduan dan kerjasama dengan Pas dibangkitkan Ketua Pergerakan Pemuda parti itu, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh pada konvensyen khas sayap parti itu pada 3 Januari lalu.

Bagaimanapun, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan UMNO kekal dalam Kerajaan Perpaduan diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga tamat penggal.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img