TENTERA Darat Malaysia (TDM) berpendirian tegas tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai mahupun anggotanya yang terbabit dalam budaya tidak sihat, berhubung isu tular mengenai `budaya YeYe’ yang mencetuskan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat ketika ini.
Sel Perhubungan Raya Markas TDM dalam kenyataan berkata, kepimpinan baharu TDM memandang serius perkara itu dan memberi jaminan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah.
Menurut TDM, satu siasatan dalaman akan dijalankan serta-merta terhadap aduan yang diterima berhubung isu berkenaan.
“TDM tidak akan berkompromi dengan salah laku warga pasukan sama ada pegawai atau anggota yang didapati terlibat secara langsung atau tidak langsung.
“Tindakan tegas terhadap pelaku akan diambil mengikut peraturan perkhidmatan dan undang-undang sedia ada jika terbukti bersalah,” kata kenyataan itu hari ini.
Tambah kenyataan itu, bagi memastikan isu integriti dan aktiviti tidak bermoral dapat dibendung, TDM menggariskan beberapa langkah penguatkuasaan dan pencegahan jangka panjang.
“Antaranya adalah pemantauan pemerintahan iaitu semua pemerintah di setiap pasukan, formasi, dan pusat latihan diarah untuk melaksanakan pemantauan berterusan serta memberi peringatan berkala kepada warga tentera.
“Selain itu, TDM akan memperkasakan pendidikan moral, kesedaran integriti, dan etika di semua peringkat. Ini termasuk mempergiatkan aktiviti keagamaan dan kerohanian bagi memupuk jati diri serta nilai profesionalisme yang tinggi,” kata kenyataan itu lagi.
TDM turut bertekad untuk mengekalkan amalan integriti dan profesionalisme yang tinggi demi keselamatan dan kedaulatan negara.


