99,693 kandungan penipuan dalam talian diturunkan setakat 31 Julai – Nie Ching

HAMPIR 100,000 kandungan berunsur penipuan dalam talian diturunkan daripada platform media sosial dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, melepasi jumlah keseluruhan kandungan yang diturunkan sepanjang tahun lepas.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, setakat 31 Julai lalu, sebanyak 99,693 kandungan berunsur penipuan dalam talian diturunkan berbanding 98,503 kandungan sepanjang 2025, sekali gus menunjukkan keselamatan dalam talian perlu terus diberi perhatian.

“Sebagai perbandingan, sebanyak 63,652 kandungan diturunkan pada 2024, diikuti 6,297 pada 2023 dan 242 pada 2022. Ini menunjukkan keselamatan dalam talian merupakan satu aspek perlu diberikan fokus dan perhatian sepenuhnya,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2026 di Dewan Negara hari ini.

RUU itu kemudian diluluskan dengan suara majoriti selepas dibahaskan oleh 15 senator.

Pindaan berkenaan antara lain memperkenalkan Inisiatif Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS) Kebangsaan bagi tujuan pemeliharaan keselamatan negara, selain memberikan asas perundangan lebih jelas kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menyokong pelaksanaannya.

Nie Ching berkata, menerusi pindaan tersebut, menteri boleh mengarahkan MCMC menyokong inisiatif berkaitan penggunaan perkhidmatan rangkaian atau aplikasi bagi tujuan pelaksanaan Inisiatif PPS Kebangsaan.

Beliau turut menjelaskan bahawa mana-mana pihak terkesan dengan keputusan atau arahan MCMC boleh mengemukakan rayuan kepada Tribunal Rayuan yang ditubuhkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Katanya, tribunal itu dipengerusikan Hakim Mahkamah Tinggi, manakala pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusannya boleh membawa perkara berkenaan ke mahkamah untuk semakan kehakiman.

Terdahulu, ketika membahaskan pindaan tersebut, Senator Datuk Seri Prof Dr Noor Inayah Ya’akub berkata, penentuan mengenai keselamatan negara perlu berasaskan kriteria dan parameter yang jelas bagi memastikan setiap keputusan kementerian boleh dipertanggungjawabkan secara telus.

Senator Sheikh ‘Umar Bagharib Ali pula menyifatkan sektor komunikasi sebagai infrastruktur strategik negara yang menjadi tulang belakang kepada pembangunan ekonomi digital dan keselamatan awam.

“Apabila rakyat yakin bahawa sesuatu kuasa itu dilaksanakan secara adil, telus dan mengikut undang-undang, mereka akan menjadi rakan strategik kepada kerajaan dalam mempertahankan keselamatan negara,” katanya.

RUU yang diluluskan Dewan Rakyat pada 15 Julai lalu itu mengandungi dua fasal, antara lain meminda Seksyen 202 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi memberikan asas perundangan lebih jelas kepada MCMC untuk menyokong pelaksanaan Inisiatif PPS Kebangsaan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img