SEBANYAK 5,681 kes buli direkodkan berlaku di sekolah di seluruh negara dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kes berkenaan merangkumi pelbagai bentuk buli termasuk secara fizikal, lisan, bukan lisan serta buli siber.
Menurut beliau, jumlah sebenar kes buli dan salah laku disiplin di institusi pendidikan berkemungkinan lebih tinggi sekiranya mengambil kira kejadian yang tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa atau kementerian.
Katanya, terdapat kemungkinan sesetengah pihak pentadbiran sekolah memilih untuk tidak melaporkan kejadian tertentu kerana bimbang ia menjejaskan imej dan reputasi sekolah.
“Masalahnya kadang-kadang dilindungi kerana tidak mahu imej sekolah itu buruk, mahu jaga reputasi sekolah, beri laporan yang baik-baik sahaja.
“Padahal hakikatnya anak-anak di sekolah itu merasa terdera dan tertekan untuk masuk ke sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pada sesi Waktu-Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini, lapor Buletin TV3.
Anwar menegaskan, sebarang kejadian buli tidak seharusnya disembunyikan kerana kesannya boleh memberi tekanan terhadap mangsa, khususnya golongan pelajar.
“Jangan sembunyikan, kerana yang rosak anak ini kita tidak fikir. Pendekatan tidak betul.
“Saya setuju bahawa dalam kes-kes seperti ini, apa jua pun alasan, tindakan harus diambil secara cepat dan tegas,” katanya.
Beliau berkata, tindakan segera dan tegas penting bagi memastikan keselamatan serta kebajikan murid terus terpelihara, selain mengelakkan kejadian sama berulang.





