TIGA lelaki termasuk dua warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini, atas pertuduhan menyimpan diesel tanpa kebenaran di Taman Mount Austin, minggu lalu.
Tertuduh, Lee Kok Chek, 45, Hendrik Dwi Setyawan, 38, dan Maulana Bachrudin, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menyimpan barang kawalan iaitu minyak diesel sebanyak 12,789 liter di dalam tangki tanpa ‘prime mover’ serta 89 liter dalam tangki IBC tanpa kebenaran Pengawal Bekalan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Jalan Mutiara Emas 7/4, Taman Mount Austin, jam 4.09 pagi pada 23 April lalu.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(2) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, semua tertuduh boleh didenda sehingga RM1 juta atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Nur Sulehan Abd Rahman, manakala Kok Chek diwakili peguam Mohamad Azrulsani Othman.
Terdahulu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM100,000 terhadap Kok Chek, manakala tiada jaminan ditawarkan kepada dua tertuduh warga asing berikutan risiko melarikan diri kerana tidak mempunyai dokumen sah.
Bagaimanapun, Mohamad Azrulsani memohon agar jaminan anak guamnya itu dikurangkan memandangkan lelaki itu hanya bekerja menguruskan kebun ubi dengan pendapatan RM2,000.
Mahkamah kemudian membenarkan Kok Chek diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, manakala dua lagi tertuduh dihantar ke Pusat Koreksional Johor Bahru selepas jaminan tidak dibenarkan.
Mahkamah menetapkan 3 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta penyerahan laporan kimia oleh Jabatan Kimia Malaysia.
Sebelum ini, media melaporkan KPDN menahan tiga lelaki termasuk dua warga asing yang disyaki menyalahgunakan kemudahan ‘fleet card’ bagi mengumpul diesel secara haram, selain merampas lapan keping kad berkenaan.


