TIGA lelaki masing-masing didenda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret Balik Pulau, hari ini, selepas mengaku bersalah mencuri 30,000 unit cip bersepadu bernilai RM2 juta dari sebuah kilang di Bayan Lepas, bulan lalu.
Hukuman dijatuhkan oleh Majistret Chia Huey Ting terhadap pemandu lori, B Rashkumar, 35, serta dua warga India yang bekerja sebagai tukang masak, G Ilayaraja, 24, dan V Sivakumar, 25.
Mahkamah turut memerintahkan ketiga-tiga tertuduh dipenjara selama setahun sekiranya gagal membayar denda berkenaan, lapor BH.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama mencuri 30,000 unit cip bersepadu di kilang Elite Electronic Product Services (M) Sdn Bhd, 88E Persiaran Bayan Lepas, pada jam 7.30 pagi, 20 September lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, pengurus kilang yang juga pengadu membuat pemeriksaan di stor sebelum mendapati 30,000 unit cip bersepadu dipercayai dicuri.
Pemeriksaan turut mendapati kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berkenaan dialihkan daripada kedudukan asal, pagar dawai premis dipotong dan pintu belakang stor mempunyai kesan diumpil.
Jumlah kerugian dianggarkan RM2 juta, manakala semua cip yang dicuri ditemukan semula di sebuah kedai barangan lusuh di Permatang Damar Laut, dekat sini.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Sofi Jaafar, manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Edric Loo.





