Kerajaan kaji kesan platform E-Dagang terhadap ekosistem perniagaan tempatan – Fahmi

KERAJAAN  sedang menilai kesan platform e-dagang terhadap ekosistem perniagaan tempatan, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), sektor peruncitan serta industri pos dan kurier.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, kementerian menyedari isu berkenaan selepas para peniaga menyuarakan kebimbangan mengenai kemungkinan berlaku ketidakseimbangan pasaran yang disebabkan oleh platform e-dagang.

Beliau berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah diarahkan untuk menjemput semua platform e-dagang bagi membincangkan perkara itu sebagai langkah awal untuk menangani isu yang dibangkitkan.

“Ini adalah langkah pertama. Selepas ini, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan saya akan mengadakan pertemuan dengan platform e-dagang, selain pemilik kedai dan pengusaha PKS yang terjejas akibat isu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Inanam Sentral di Kota Kinabalu hari ini, yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) merangkap Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mustapha Sakmud.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata perbincangan itu turut memberi tumpuan kepada penjualan produk pada harga yang terlalu rendah atau di bawah harga pasaran, yang boleh memberi kesan negatif kepada perniagaan tempatan.

Beliau berkata kerajaan tidak berhasrat untuk menghalang peniaga dan usahawan daripada menggunakan platform e-dagang sebagai saluran perniagaan, namun kerajaan perlu memastikan pertumbuhan sektor berkenaan tidak memberi kesan negatif terhadap ekosistem ekonomi tempatan.

“Kita tidak menghalang peniaga dan usahawan daripada mendapat manfaat daripada platform e-dagang, tetapi kita mengambil berat tentang sebarang kesan negatif, khususnya terhadap ekosistem tempatan, termasuk sektor jualan, peruncitan serta pos dan kurier,” katanya.

Beliau berkata isu itu memerlukan pendekatan menyeluruh kerana kesannya bukan sahaja melibatkan industri e-dagang, malah turut merangkumi sektor perdagangan, peruncitan, perkhidmatan kurier dan perniagaan PKS secara lebih luas.

Fahmi berkata perkara itu akan diselaraskan melalui kerjasama antara MCMC, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Kewangan, Lembaga Hasil Dalam Negeri serta agensi-agensi berkaitan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here