
SEBENARNYA penulis sama sekali tidak terkejut apabila Bersatu meneruskan gerakan pecat dan gantung pemimpin parti itu atas alasan mahu memperkuatkan parti.
Lanjutan itu bertepuklah orang-orang sang Presiden bahawa langkah tersebut akan memastikan dalam Bersatu tidak ada ‘duri dalam daging’ atau pengacau yang boleh gugat parti berkenaan..betul ke?
Terserahlah mahu membuat apapun tafsiran, bentanglah sebanyak manapun perkara bagi ‘menghalalkan’ pemecatan dan penggantungan tersebut yang setakat ini telah memungkinkan Bersatu dilihat ‘parti politik paling berantakan’.
Persoalan apakah tindakan itu adalah satu ‘pembersihan atau persiapan pengebumian’ untuk parti berusia 10 tahun itu?
Bersatu mempunyai 31 Ahli Parlimen ketika PRU-15 lalu, bagaimanapun 10 digantung dua penggal dan 12 dipecat atau keluar Bersatu manakala terdapat tiga lagi diberi amaran. Khabarnya ada lagi yang akan kena dalam tempoh terdekat ini.
Adakah Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr. Radzi Jidin, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Seri Ahmad Faisal Azumu dan Tun Faisal Ismail Aziz mampu memulihkan kekuatan Bersatu selepas ‘pembersihan’ ini atau mereka sebenarnya sedang membuka jalan untuk Bersatu menuju ke kuburan politik?
Ia memandangkan individu yang mereka pecat atau gantung bukan calan-calang. Ramai Ahli Parlimen yang dipecat atau digantung itu berjaya mempertahankan kerusi masing-masing atas kapasiti peribadi bukannya parti.
Contohnya Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Larut), Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah) dan Datuk Seri Ronald Kiandeen (Beluran).
Adakah Bersatu yakin di kesemua kerusi itu mereka mampu meletakkan calon lain yang setanding? Percayalah sekadar bermimpi mungkin boleh tetapi realitinya, Bersatu tidak akan mampu menguasai kembali kawasan berkenaan.
Begitu juga kerusi-kerusi lain, berdasarkan maklumat yang penulis terima, belum tentu Bersatu akan mampu mempertahankannya. Sumber memaklumkan, Bersatu dijangka hilang banyak kerusi Parlimen termasuk di Putrajaya.
Selain itu, tindakan Bersatu menggantung dan memecat wakil rakyat termasuk di peringat DUN mampu melemahkan PN dan dilihat tidak menghormati kesediaan Pas memberikan kerusi dan menyumbang jentera serta undi penyokong parti itu bagi memastikan kemenangan Bersatu.
Selepas ini mungkin Pas dan Bersatu gunakan formula Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi, tanding solo tapi gabung kemudian selepas PRU-16. Ketika bertanding gunakan lambang masing-masing. Jangan paksa Pas guna lambang PN kerana imej gabungan itu sudah terjejas akibat apa yang berlaku dalam Bersatu.
Sudah terbukti Pas melakukan pengorbanan sia-sia dengan memastikan kemenangan Bersatu dalam pilihan raya. Penat-penat jentera Pas bekerja, penuh ikhlas Pas serahkan jawatan Ketua pembangkang kepada Bersatu, pastikan calon-calon Bersatu menang, akhirnya wakil rakyat terlibat dipecat atau digantung.
Pas perlu mengambil balik semua kerusi yang diberikan kepada Bersatu pada PRU-15 dan tidak perlu melantik ADUN Bersatu mengisi jawatan Exco atau Timbalan Speaker seperti di Kelantan dan Kedah, sebab takut nanti ada yang kena pecat atau gantung lagi.
Justeru bagi menghadapi PRU-16 yang dianggap cukup gentir, Pas perlu utamakan kemenangan parti itu terlebih dahulu, biarlah Bersatu uruskan soal rumahtangga mereka dan menanggung akibat daripada kegelojohan politik mereka.
Pas tidak boleh dilihat terlalu bertolak ansur atau terlalu baik sehingga apapun Bersatu lakukan Pas masih lagi mahu bersabar. Cukuplah melayan tindak tanduk kepimpinan Bersatu dan sikap beberapa watak dalam parti itu membuktikan mereka tidak pedulipun kesan terhadap PN.
Malah lebih daripada itu, mereka tidak kisah perasaan Pas sebagai sekutu. Jadi Pas perlu menunjukkan kekuatan untuk menjadi parti utama dalam PN, bukannya dilihat bagaikan ‘melukut di tepi gantang’ apatah lagi menjadi ‘pak turut’.
Kalau apa yang mereka lakukan melemahkan Bersatu, lantaklah sebab Bersatupun boleh dianggap sama taraf sahaja dengan Amanah selepas adegan ‘pecat dan gantung’ pemimpinnya. Tetapi Amanah lebih bijak daripada Bersatu kerana tidak membuat tindakan yang boleh menjejaskan peluang dalam pilihan raya yang khabarnya semakin hampir.
Bukan lagi rahsia, tindakan yang dilakukan semuanya melibatkan mereka yang dianggap ‘orang Hamzah’ sehinggakan pergi majlis Aidilfitri anjuran Ahli Parlimen Larut itu pun diletakkan sebagai melanggar disiplin.
Bagaimanapun sehingga ke hari ini sokongan kepada Hamzah untuk kekal sebagai Ketua Pembangkang masih jitu. Selain Ahli Parlimen Pas, majoriti Ahli Parlimen Bersatu termasuk sama ada belum dipecat, sudah dipecat atau digantung bersama beliau. Buktinya? Sabarlah beberapa hari lagi segalanya akan lebih jelas…
Sebab itulah ada yang dok ‘meroyan’ tanya mana surat peletakan jawatan Hamzah sebagai Ketua pembangkang…
Sepatutnya pemimpin Bersatu tenang-tenang sahaja terutamanya kalau bukan Ahli Parlimen atau tidak pernah bertanding dalam mana-mana pilihan raya…biarlah ahli-ahli Parlimen PN khususnya Pas uruskan. Lagipun dalam keadaan Bersatu berkecamuk, Bersatu tidak layak menasihati atau mendesak Pas.
Bersatu patut tumpukan dulu usaha memulihkan imej parti tersebut termasuklah menghidupkan kembali berpuluh-puluh bahagian yang AJK bahagian meletakkan jawatan. Kalaupun tak boleh menang semua kerusi dulu dapat 3-4 kerusi jadilah.Jangan dok sibuk perkara lain, takut nanti kerusi’ Parlimen Bersatu hanya ‘tinggal batu nesan’’.
Kalau itu berlaku ia juga akan menjejaskan impian PN untuk menang pilihan raya. Jadi kalau Pas nampak riak-riak itu , carilah sekutu lain sebagai ‘back up’…siapa dan parti mana?…Pas pasti tahu..


