TENTERA Laut Diraja Malaysia (TLDM) terus memperkukuh hubungan dengan masyarakat menerusi Program Jiwa Murni MADANI Siri 2/2026 yang menggabungkan usaha memelihara alam sekitar, menaik taraf kemudahan awam serta menyantuni komuniti Orang Asli di Semenyih, Selangor.
Program yang berlangsung pada 25 Jun lalu di Taman Eko Rimba Sungai Tekala dan Kampung Orang Asli Sungai Lalang Baru itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Perhutanan.
Asisten Ketua Staf Sekretariat Markas Tentera Laut, Laksamana Pertama Ismail Othman berkata, program berkenaan bertujuan memperkukuh hubungan antara TLDM, agensi kerajaan dan komuniti setempat menerusi pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
Menurutnya, antara pengisian utama ialah Program Kongsi Rezeki, aktiviti pembersihan sungai serta kerja-kerja membaik pulih kemudahan awam termasuk padang bola bagi mewujudkan persekitaran yang lebih selamat, bersih dan kondusif.

“Program ini dilaksanakan berteraskan tiga objektif utama iaitu melestarikan alam sekitar melalui aktiviti pemuliharaan, menambah baik infrastruktur awam serta berkongsi rezeki bersama komuniti Orang Asli sebagai manifestasi keprihatinan dan tanggungjawab sosial TLDM,” katanya.
Beliau berkata, sebagai simbolik keprihatinan TLDM terhadap kebajikan masyarakat, sumbangan Program Kongsi Rezeki turut disampaikan kepada Tok Batin Kampung Orang Asli Sungai Lalang Baru.
Katanya, program berkenaan membuktikan peranan TLDM bukan sekadar mempertahankan kedaulatan maritim negara, malah turut memainkan peranan penting dalam pembangunan komuniti menerusi semangat kesukarelawanan, kemanusiaan dan kebersamaan.
“Pelaksanaan program ini juga selaras dengan Teras Keempat Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026-2030 yang menekankan pengukuhan konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH), selain mendukung aspirasi Kertas Putih Pertahanan melalui pendekatan Whole of Government, Whole of Society (WOGOS),” katanya.






