SEORANG pelajar lelaki berusia 14 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh sebuah kereta yang diparkir di bahu Jalan Kampung Sungai Chinchin, Batu 7, Jalan Gombak Lama, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa yang bersekolah di sebuah sekolah menengah di Gombak disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan dialaminya.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ibrahim Husin berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan itu pada jam 3.23 petang.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal bersendirian dari rumahnya di Jalan Gombak Batu 8¾ menuju ke Batu 7 Gombak.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan secara tiba-tiba sebelum melanggar sebuah kereta yang sedang diparkir di bahu jalan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh penolong pegawai perubatan hospital,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Selayang untuk proses bedah siasat.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Suharman Che Musa di talian 019-675 1727 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-6126 2222.






