TIMBALAN Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan dinasihatkan berhati-hati membuat kenyataan sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri Sembilan (PRN), kata Aziz Bari.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi DAP Perak, Aziz Bari, berkata,Mohamad boleh mencontohi sikap Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi yang dilihat lebih berhemah dan berhati-hati ketika membuat kenyataan terbuka sepanjang kempen, termasuk di Johor.
“Zahid berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan, tidak seperti Mohamad yang semberono. Mohamad perlu memilih sama ada berhati-hati selagi beliau kekal dalam Kabinet, atau berkempen secara habis-habisan sebagai calon dalam PRN,” katanya lapor FMT.
Aziz, yang juga ADUN Tebing Tinggi selama dua penggal, turut mempersoalkan sejauh mana Mohamad mampu berkempen tanpa menyerang Pakatan Harapan (PH) memandangkan BN dan Perikatan Nasional (PN) berpakat.
“Bagaimana seseorang boleh mengelak daripada menyerang kerajaan Persekutuan, sedangkan pada masa sama mahu mempromosikan kerjasama UMNO-Pas?” katanya.
Pada majlis pengumuman calon BN bagi PRN minggu lalu, Mohamad berkata gabungan itu akan bekerjasama dengan ‘rakan yang boleh dipercayai’, sekali gus memberi bayangan bahawa PH tidak boleh dipercayai.
Pada Ahad, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata mana-mana anggota Kerajaan Persekutuan yang menjadikan PRN sebagai platform untuk menyerang anggota lain wajar melepaskan jawatan.
Mohamad menjawab beliau sedia meletakkan jawatan sebagai Menteri Luar jika diarahkan berbuat demikian oleh Perdana Menteri.
Bagaimanapun, calon BN bagi kerusi Rantau itu berkata beliau tidak berniat menyerang pemimpin lain dalam kerajaan perpaduan sepanjang kempen PRN yang akan berlangsung pada 1 Ogos.
Dalam perkembangan berasingan, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, yang juga menteri pertahanan, berkata pelantikan anggota Jemaah Menteri adalah hak prerogatif Perdana Menteri.
Menurutnya, Anwar sudah tentu akan menggugurkan mana-mana menteri lebih awal sekiranya benar-benar tidak menyukai mereka.






