Guan Eng, Tony Pua pertahan langkah penjimatan projek LRT3

BEKAS Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua berkata, projek Laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam tidak pernah dihentikan atau digantung sepanjang pentadbiran Pakatan Harapan (PH) antara 2018 hingga 2020.

Kedua-dua mereka menjelaskan, sebaliknya beberapa peningkatan dan penambahbaikan turut dilaksanakan bagi membolehkan kerajaan mendapat penjimatan kos projek awal.

Menurut mereka, kos projek awal LRT3 adalah melebihi RM9.72 bilion dengan harga akhir RM21.93 bilion berbanding harga asal RM31.65 bilion yang diluluskan.

“Hasil daripada beban hutang projek yang lebih rendah, kerajaan dijangka dapat menjimatkan sehingga RM10 bilion lagi dalam kos faedah sepanjang tempoh 25 hingga 30 tahun.

“Kami juga ingin menegaskan bahawa pentadbiran PH ketika itu menyokong sepenuhnya projek LRT3 dan menganggapnya sebagai projek kritikal dan penting untuk meningkatkan kualiti kehidupan harian penduduk Lembah Klang,” kata mereka dalam kenyataan bersama hari ini.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam menzahirkan penghargaan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana menerima cadangan baginda untuk membina Laluan LRT3 menghubungkan Klang, Shah Alam dan Kuala Lumpur.

Menerusi titah perutusan sempena pembukaan Laluan LRT3, baginda bertitah, cadangan pembinaan sistem rel itu disampaikan kepada Najib ketika majlis berbuka puasa pada 2015 selepas menerima banyak surat daripada rakyat terutama suri rumah yang mengadu suami mereka sering pulang lewat akibat kesesakan lalu lintas di Lebuhraya Persekutuan.

Pada masa sama, baginda bertitah, projek LRT3 tergendala lebih 18 bulan susulan pertukaran kerajaan pada 2018 sebelum berdepan kelewatan tambahan selama 19 bulan akibat pandemik Covid-19.

Baginda bertitah, ketika Guan Eng menerajui Kementerian Kewangan bersama Tony sebagai penasihat, kos projek dikecilkan kerana disifatkan sebagai projek mega.

Menurut baginda, tindakan itu menyebabkan saiz setiap stesen dikecilkan, jumlah gerabak dikurangkan dan lima lokasi stesen yang dicadangkan dibatalkan.

Mengulas lanjut, Guan Eng dan Tony berkata, penjimatan yang dilakukan tidak dibuat dengan mengorbankan jumlah penumpang dan fungsi LRT3.

“Penjimatan ini sebaliknya membolehkan kerajaan semasa dan masa hadapan memperuntukkan semula dana kepada manfaat kebajikan lain untuk rakyat dan perbelanjaan pembangunan,” katanya.

Mereka berkata, di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) pada 2015, Najib meluluskan RM9 bilion untuk projek LRT3 dan memberikan Prasarana jaminan kerajaan berjumlah RM10 bilion bagi tujuan meraih dana projek.

Bagaimanapun, menurut mereka Prasarana menganugerahkan pelbagai Kontrak Pakej Kerja (WPC) berjumlah RM15.2 bilion pada Mac 2018, jauh melebihi peruntukan asal RM9 bilion yang diluluskan.

“Selepas mengambil kira semua kos lain, Prasarana pada Mac 2018 mengemukakan cadangan belanjawan projek baharu sebanyak RM31.65 bilion serta permohonan tambahan Jaminan Kerajaan sebanyak RM22 bilion bagi mendapatkan pembiayaan untuk projek berkenaan,” katanya.

Guan Eng dan Tony berkata, selepas perubahan kerajaan pada Mei 2018, kerja-kerja projek diteruskan tanpa gangguan, sementara pentadbiran baharu bekerjasama dengan rapat dan secara baik dengan PDP yang dilantik iaitu MRCB-George Kent, bagi merasionalisasikan kos projek.

“Memandangkan projek LRT3 pada ketika itu hanya siap sebanyak sembilan peratus, kami mengambil peluang untuk melantik perunding kejuruteraan bebas bagi meneliti dan mencadangkan langkah-langkah rasionalisasi demi memastikan akauntabiliti yang sewajarnya terhadap projek tersebut,” jelas mereka.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img