TENTERA Amerika Syarikat (AS) semalam mengesahkan tiga anggotanya terbunuh manakala lima lagi parah, menjadikannya kematian pertama direkodkan di pihak Washington sejak AS dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran, kelmarin.
Menurut Pusat Command AS (CENTCOM), kematian dan kecederaan itu berlaku ketika menjalankan Operasi ‘Epic Fury’.
Beberapa anggota lain turut mengalami kecederaan ringan akibat kesan serpihan serta gegaran otak dan kini dalam proses untuk kembali bertugas.
Susulan itu, Presiden AS, Donald Trump berikrar untuk membalas kematian tiga anggota tentera terbabit selain menegaskan peperangan kali ini boleh berlarutan hingga empat minggu atau kurang.
Trump turut memberi amaran kepada Pengawal Revolusi Iran (IRGC) supaya menyerah diri atau berdepan kematian tertentu, malah menggesa rakyat Iran bangkit menentang kepimpinan mereka sendiri dengan menyatakan bahawa Amerika bersama mereka.
Dalam perkembangan sama, tentera AS mengumumkan pihaknya telah memusnahkan ibu pejabat IRGC.
CENTCOM memaklumkan AS memiliki ketenteraan paling berkuasa di bumi dan IRGC tidak lagi mempunyai ibu pejabat, sambil menjelaskan serangan itu berlaku kelmarin.
Sementara itu, tentera Israel mendakwa pihaknya telah menyerang puluhan pusat command tentera Iran termasuk ibu pejabat IRGC, ibu pejabat perisikan, pusat command Tentera Udara IRGC serta ibu pejabat keselamatan dalaman.


