SUARA AWANG SELAMAT
RAMAI yang tanya Awang, ok ke Donald Trump nak datang Malaysia bulan depan memandangkan Presiden Amerika Syarikat (AS) itu mempunyai hubungan akrab dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu yang sedang membunuh rakyat Palestin setiap hari dan menghancurkan bumi Gaza.
Selain itu Trump juga tengah usaha untuk jual senjata kepada Israel. AS tidak mengiktiraf negara Palestin malah memberi amaran kepada hampir 150 negara yang berbuat demikian. Bagaimana angkuhnya Netanyahu begitulah Trump. Tubuh aje lain tapi perangai dan otak sama sahaja.
Pada 28 September ini, Trump jemput lagi Netanyahu ke Rumah Putih. Ia kali kelapan sejak Trump angkat sumpah jadi Presiden AS. Pastinya kita akan tengok lagi babak Trump tarik kerusi bagi membolehkan Netanyahu duduk.
Bayangkan seorang Presiden sebuah negara kuasa besar sanggup beri layanan macam tu kepada seorang Perdana Menteri kepada sebuah negara yang wujud dengan merampas tanah negara lain (Palestin). Patutlah Netanyahu berasa sangat kuat dan berkuasa sebab ada ‘Presiden suruhan’.
Kalau begitulah sikap Presiden AS itu terhadap pembunuh rakyat Palestin tersebut, apa yang kita harapkan daripada kunjungan Trump ke Malaysia nanti? Secara peribadi Awang tidak setuju Trump datang ke Malaysia.
Sejak awal lagi AS lah yang bertanggungjawab memberi semangat dan bantuan ketenteraan kepada Israel untuk membunuh umat Islam Palestin atas alasan memerangi Hamas. Malah Trump sendiri mahu rakyat Palestin keluar dari Gaza untuk memberi laluan kepada rejim Zionis menjajah.
Trump seronok pemimpin negara Islam khususnya negara Arab masih tetap mahu bersahabat dengan AS walaupun maruah negara mereka sudah dicabul sepertimana berlaku kepada Qatar. Negara macam Malaysia memanglah tidak ada kekuatan untuk melawan AS atau Israel.
Negara Arab ada kekuatan untuk bertindak balas tetapi mereka tidak mahu demi menjaga hubungan dengan AS dan Israel. Namun pandangan Awang, kita boleh lakukan sesuatu untuk memberi isyarat kepada Trump, contohnya membatalkan kunjungan Presiden AS itu ke negara kita.
Awang setuju dengan pandangan banyak pihak yang kata tak sesuai sangat untuk Trump datang ketika Malaysia begitu lantang sekali dalam isu Palestin. Awang tak pandai soal diplomatik tetapi lebih baik tak pandai daripada yang pandai diplomatik merasakan Trump yang sentiasa menyokong apa sahaja tindakan Netanyahu dan rejim Zionis perlu dibenarkan menjejak kaki ke Malaysia.
Kalau kehadiran Trump dianggap penting supaya kita boleh sampaikan desakan kita kepada Trump secara langsung (bersemuka), adakah selama ini negara-negara lain tidak pernah melakukan tindakan yang sama? Mereka bukan sahaja bercakap melalui panggilan telefon malah berjumpa dengan Trump tetapi apa hasilnya? Bak tajuk lagu Najwa Latif…KOSONG!
Trump dan Netanyahu tidak pernah pedulipun bukan kata negara Islam malah negara lain cakap. Bayangkanlah hampir 150 negara sokong Palestin, desak henti perang dan jangan bunuh rakyat Palestin tetapi Trump dan Netanyahu ‘buat bodoh saja’.
Jadi agak-agak la apabila negara-negara ASEAN bercakap ‘direct’ kepada Trump bila dia datang Malaysia nanti, adakah Trump akan dengar? Burung hud-hudpun tahu jawapannya..
Awang – Tak nak buat kerja sia-sia



