UNIVERSITI Teknologi Malaysia (UTM) menafikan individu dalam poster tular di media sosial yang didakwa terbabit dalam pergaduhan mulut adalah petugas universiti berkenaan.
UTM dalam kenyataan memaklumkan, individu terbabit bukan individu yang dinamakan dalam poster asal, sekali gus menegaskan berlaku penyalahgunaan atau manipulasi bahan komunikasi berkenaan.
Menurut kenyataan itu, pihak universiti memandang serius sebarang manipulasi atau penyalahgunaan bahan komunikasi, logo dan identiti yang boleh mengelirukan orang ramai serta menjejaskan reputasi staf dan universiti.
“UTM berhak mengambil tindakan sewajarnya termasuk tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang didapati bertanggungjawab dalam penyebaran poster itu.
“Justeru, orang ramai diminta menghentikan penyebaran poster yang telah diubah suai itu dan hanya merujuk kepada saluran rasmi UTM bagi mendapatkan maklumat sahih,” menurut kenyataan itu.
Sebelum ini, gambar seorang individu dalam video pergaduhan mulut dengan seorang lelaki kerana didakwa memotong barisan ketika membeli makanan tular di media sosial menerusi poster yang mendakwa wanita berkenaan petugas UTM.





