CUBAAN seorang lelaki melarikan diri daripada pemeriksaan polis sejauh kira-kira 20 kilometer bertukar kecoh apabila dia memandu secara berbahaya, melawan arus dan merempuh tiga kenderaan termasuk sebuah kereta peronda polis di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), dekat Rembau, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, suspek turut dikatakan hampir merempuh anggota polis yang sedang bertugas sebelum bertindak meninggalkan kenderaannya dan melarikan diri ke kawasan semak berhampiran.
Pemangku Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Azmi Ali berkata, kejadian bermula apabila anggota polis yang menjalankan rondaan di Kilometer 225 PLUS arah utara mengesan sebuah Volkswagen Passat 1.8 yang didapati mempunyai cukai jalan dan insurans tamat tempoh sejak 7 Mei lalu.
Menurutnya, anggota polis kemudian menyalakan lampu beacon dan mengarahkan pemandu berhenti untuk pemeriksaan, namun suspek enggan mematuhi arahan sebaliknya memecut sambil memandu secara berbahaya dengan bergerak secara zig-zag.
“Anggota kemudiannya meminta bantuan Unit Rondaan Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) untuk menutup semua lorong di Kilometer 242 arah utara bagi menghalang kenderaan itu.
“Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi, suspek bertindak memandu melawan arus dan merempuh beberapa kenderaan termasuk kereta peronda polis sebelum berjaya melepasi sekatan,” katanya.
Beliau berkata, suspek kemudian meninggalkan kereta dipandunya di tepi lebuh raya sebelum melarikan diri ke kawasan semak dalam ladang kelapa sawit berhampiran.
Katanya, kemalangan itu membabitkan sebuah Proton Saga, Toyota Yaris dan kereta polis, namun semua pemandu serta anggota polis tidak mengalami sebarang kecederaan, walaupun kenderaan masing-masing mengalami kerosakan.
“Hasil semakan lanjut mendapati cukai jalan dan insurans Volkswagen Passat itu telah tamat tempoh sejak Mei lalu.
“Semakan juga mendapati pemandunya tidak memiliki lesen memandu yang sah,” katanya.
Azmi berkata, polis telah mengenal pasti identiti suspek yang berusia 30 tahun dan sedang giat mengesannya.
Beliau meminta suspek tampil menyerah diri bagi membantu siasatan, selain menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi balai polis berhampiran atau tampil membantu siasatan.






