SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengesahkan sudah membuka beberapa kertas siasatan berkaitan isu-isu yang mengakibatkan kerugian dialami UiTM Holdings Sdn Bhd yang berlaku pada 2023.
Menurut suruhanjaya itu, antara projek yang disiasat SPRM adalah membabitkan pembangunan projek solar 50MW di Gambang, Pahang yang membabitkan bayaran berjumlah RM42 juta.
Difahamkan, proses siasatan masih berlangsung dan ia masih menunggu arahan lanjut daripada pihak pendakwaan.
Menurut sumber, bagi projek solar 50MW di Gambang, sejumlah RM42 juta dikatakan dibayar bagi tujuan yang tidak berkaitan dengan projek solar itu dan ia dibuat tanpa kelulusan Lembaga Pengarah (BOD).
“Siasatan dalam kes ini adalah membabitkan kompleksiti kes yang tinggi kerana terdapat beberapa perkara membabitkan aspek teknikal.
“Bagi melengkapkan lagi proses penyiasatan, SPRM juga akan meneliti sekiranya terdapat isu-isu lain yang relevan termasuk kelemahan tata kelola sebagaimana yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, semalam.
“SPRM juga mengesahkan sedang menunggu arahan lanjut daripada pihak pendakwaan berhubung kes ini,” kata sumber itu.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Beliau berkata, SPRM akan berusaha menyiapkan siasatan dengan kadar segera secara bebas dan adil.
Abd Halim memberitahu, ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha melihat dan menyelesaikan kelemahan yang menjadi faktor kerugian ke atas UiTM Holdings Sdn Bhd adalah sesuatu perkara dan keprihatinan yang disambut baik.
Semalam, Anwar dilaporkan berkata, Universiti Teknologi Mara (UiTM) perlu membuat penilaian semula secara menyeluruh terhadap struktur tadbir urus serta pengurusan anak syarikatnya, UiTM Holdings berikutan prestasi kewangan syarikat berkenaan yang mencatatkan kerugian.
Katanya, usaha itu perlu dilakukan dengan kerjasama Naib Canselor UiTM dengan Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi menangani isu kelemahan pengurusan di entiti perniagaan institusi berkenaan.
Beliau turut memberi jaminan bahawa pihak pejabatnya dan JPM sedia memberi sokongan penuh dan kepakaran yang diperlukan bagi memastikan urusan berkenaan berjalan lancar.





