UMNO mahu bentuk ‘kolaborasi agung’ parti Melayu, Islam

PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini meminta ‘restu’ daripada perwakilan untuk membentuk satu ‘kolaborasi agung’ yang menghimpunkan parti-parti politik Melayu-Islam di negara ini.

Ketika menyampaikan ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, Ahmad Zahid bagaimanapun menegaskan langkah itu sama sekali tidak berniat menggugat Kerajaan Perpaduan sedia ada.

“Saya mohon persetujuan perwakilan untuk membentuk gabungan besar bagi menyatukan seluruh parti politik Melayu-Islam dalam satu gabungan, dengan tidak berhajat menggugat Kerajaan Perpaduan yang ada,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, terdapat pihak yang sudah ‘merisik dan meminang’ UMNO untuk kerjasama lebih rapat, dan beliau secara terbuka menerima risikan itu dengan syarat ia tidak mengganggu kestabilan Kerajaan Perpaduan.

“Apa yang saya bayangkan memang ada yang merisik dan meminang. Dengan ini, risikan itu diterima secara rasmi dengan syarat tidak mengganggu Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Ahmad Zahid turut memberi jaminan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beliau tidak mempunyai agenda untuk ‘menebuk atap’ Kerajaan Perpaduan.

“PM, jangan risau saya tiada niat atau agenda untuk tebuk atap,” katanya disambut tepukan perwakilan.

Sementara itu, pada sidang medianya, Ahmad Zahid berkata cadangan ‘kolaborasi agung’ lahir daripada suara akar umbi dan perwakilan yang mahu penyatuan politik Melayu-Islam digerakkan secara lebih tersusun dan strategik.

“Ini bukan idea saya seorang, tetapi desakan akar umbi yang mahu agenda Melayu dan Islam digerakkan secara bersama dan lebih terancang,” katanya.

Mengulas bentuk serta mekanisme kolaborasi itu, Ahmad Zahid berkata, tiada sebarang jawatankuasa rasmi ditubuhkan buat masa ini, namun kerja awal akan dimulakan melalui siri pertemuan antara pimpinan tertinggi parti terlibat.

Beliau berkata, UMNO akan mengambil langkah pertama untuk mengadakan pertemuan termasuk dengan Pas, Bersatu serta parti dan NGO Melayu-Islam lain, berdasarkan perbincangan awal pernah diadakan sebelum ini.

“UMNO akan memulakan langkah ini, kerana kita percaya penyatuan mesti bermula dengan keberanian untuk duduk semeja,” katanya.

Ahmad Zahid menjelaskan, pertemuan akan melibatkan kepimpinan utama seperti presiden, timbalan presiden, naib presiden, setiausaha agung dan ketua penerangan parti masing-masing bagi memastikan perbincangan lebih terarah dan bermakna.

“Ia perlu dipimpin oleh top leadership supaya hala tuju kolaborasi ini jelas dan teratur,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img