UPKO umum keluar Pakatan Harapan

KETIKA gelanggang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru sahaja hendak panas, parti UPKO membuat kejutan apabila mengumumkan keluar daripada Pakatan Harapan (PH), berkuat kuasa serta-merta.

Setiausaha Agung parti itu, Datuk Nelson W Angang, berkata keputusan berkenaan dicapai pada Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UPKO, hari ini.

Beliau berkata, mesyuarat itu bertujuan membincangkan agenda ‘Sabah First’ yang menjadi asas perjuangan dan hala tuju kepimpinan parti berkenaan.

“Keputusan itu akan dimaklumkan secara rasmi kepada Pengerusi PH dan parti-parti komponen PH.

“Kedua-dua Ahli Parlimen UPKO, Datuk Ewon Benedick dan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, akan terus menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong supaya kestabilan Kerajaan Persekutuan harus dikekalkan hingga penggal ini berakhir,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menjelaskan, mesyuarat khas itu turut menyokong sepenuhnya keputusan Ewon yang juga Presiden UPKO, meletak jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Beliau berkata, Ewon mengambil keputusan itu kerana tidak dapat bersetuju dengan pendirian dan pandangan Jabatan Peguam Negara (AGC) sepanjang prosiding semakan kehakiman terkait hak 40 peratus Sabah yang difailkan oleh Sabah Law Society.

“Sepanjang tempoh empat tahun berada dalam PH, UPKO telah menjadikan agenda ‘Sabah First’ dalam perundingan berkaitan manifesto pilihan raya PH dan perbincangan dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang diketuai oleh Pengerusi PH.

“Bagaimanapun sepanjang tempoh itu, berlaku jurang interpretasi, pandangan dan pendirian antara UPKO dengan parti-parti komponen PH pada peringkat nasional mengenai tuntutan pelaksanaan hak hasil 40 peratus Sabah, tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak, serta kegagalan melaksanakan autonomi pentadbiran PH Sabah,” katanya.

Nelson mendakwa bahawa kepengerusian PH Sabah oleh UPKO melalui Mesyuarat Agung PH Sabah, tidak pernah diselesaikan oleh Majlis Presiden PH susulan bantahan daripada PKR Sabah.

“Malah, UPKO turut menerima kecaman terbuka walaupun keputusan dibuat melalui pemilihan yang dikendalikan oleh pentadbir dari ibu pejabat PH.

“Presiden UPKO kemudian hanya dilantik sebagai koordinator, namun keputusan berkaitan persiapan pilihan raya oleh PH diputuskan oleh PKR tanpa autonomi sebenar oleh PH Sabah, bercanggah dengan apa yang sudah diumumkan,” dakwanya lagi.

Nelson berkata, UPKO menilai semula hala tuju perjuangan, dan menyimpulkan hanya parti-parti tempatan Sabah benar-benar memahami denyut nadi, jiwa, wawasan serta impian masa depan Sabah berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan hak-hak Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan, khususnya hak hasil 40 peratus Sabah.

“UPKO kekal dengan pendirian bahawa hak 40 peratus Sabah itu adalah berasingan daripada tanggungjawab Kerajaan Persekutuan bawah Senarai Persekutuan (Federal List).

“UPKO bersedia untuk bekerjasama dengan parti-parti tempatan Sabah yang mahu memperjuangkan agenda ‘Sabah First’ bersama-sama supaya pelaksanaan sebenar MA63 seperti hak 40 peratus, dapat diperjuangkan dengan lebih berkesan,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img