PIHAK pengurusan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Yarl, Kuala lumpur membuat laporan polis bagi mempertahankan nama baik sekolah susulan dakwaan seorang wanita yang mendakwa dihalau ketika menghadiri majlis di sekolah itu pada 27 Jun lalu.
Dalam satu kenyataan hari ini, pihak sekolah memaklumkan laporan polis dibuat pada hari kejadian sebagai langkah melindungi maruah sekolah, guru dan seluruh komuniti sekolah selain mengekalkan kepercayaan ibu bapa serta motivasi murid.
Menurut kenyataan itu, pihak sekolah turut akan mengambil tindakan undang-undang berdasarkan bukti bergambar dan rakaman video yang didakwa dimuat naik wanita berkenaan.
“Bukti berkenaan akan diserahkan mengikut saluran yang betul selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada,” menurut kenyataan itu.
Mengulas dakwaan wanita terbabit, pihak sekolah menafikan berlaku sebarang tindakan menghalau mana-mana ibu bapa sepanjang majlis berlangsung.
Katanya, program berkenaan berjalan lancar sehingga tamat dan semua tetamu diraikan mengikut prosedur yang ditetapkan.
“Dakwaan bahawa tiada kerusi disediakan juga tidak selaras dengan keadaan sebenar di lokasi majlis,” katanya.
Pihak sekolah turut menafikan dakwaan kononnya hanya seorang ibu atau bapa dibenarkan masuk mengiringi anak menerima anugerah.
Menurut kenyataan itu, sepanjang majlis berlangsung pihak sekolah sentiasa mengamalkan budaya hormat-menghormati selain berusaha memastikan keselesaan tetamu termasuk menyediakan makan dan minum.
“Warga SMK Taman Yarl amat sedih dan terkilan apabila usaha gigih yang dicurahkan bagi menjayakan majlis itu dicemari dakwaan yang tidak benar.
“Bagaimanapun, sekolah kekal komited memberikan perkhidmatan terbaik kepada murid dan ibu bapa serta menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sementara itu, wanita terbabit memaklumkan beliau turut membuat laporan polis selepas mendakwa aduannya kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) tidak mendapat perhatian.
Menurutnya, laporan itu dibuat bagi menjamin keselamatan anak-anaknya yang didakwa menerima ugutan susulan isu berkenaan.
Menerusi satu video yang dimuat naik di Facebook, wanita itu berkata beliau turut bersetuju menghadiri pertemuan selepas dihubungi pihak sekolah.
“Dalam pertemuan itu, pihak sekolah ada menawarkan untuk menarik balik laporan polis dan meminta kami menganggap antara satu sama lain seperti adik-beradik,” dakwanya.
Beliau turut menjelaskan anaknya masih belajar di sekolah berkenaan kerana tidak mahu mengganggu persiapan menghadapi peperiksaan.






