Video tular kes tembak di Klang: Polis tahan suspek miliki 20 rekod jenayah

POLIS menahan seorang suspek yang memiliki lebih 20 rekod jenayah selepas lelaki itu melanggar anggota polis di sebuah stesen minyak di Persiaran Raja Muda Musa, di Klang, Selangor semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, pasukan polis terserempak dengan sebuah kereta jenis Toyota Vios warna putih yang disyaki terbabit dengan satu kes samun di Subang Jaya sebelum ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa berkata, apabila polis hendak membuat tangkapan terhadap suspek iaitu pemandu kereta terbabit di sebuah stesen minyak, suspek bertindak agresif menolak anggota polis dan melarikan diri menggunakan keretanya.

“Ketika itu, kereta suspek melanggar dan hampir menggilis kaki seorang anggota polis. Dia turut melanggar kereta yang digunakan polis sebelum bertindak memandu dengan melawan arus di Persiaran Raja Muda Musa menghala ke Shah Alam.

“Suspek kemudian meninggalkan keretanya di tepi jalan Persiaran Sultan Ibrahim sebelum melarikan diri. Dalam kejadian ini, anggota yang terbabit mengalami kecederaan dan dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) serta kereta turut mengalami kerosakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

Ramli berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 186 dan 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan menghalang penjawat awam dan cubaan bunuh.

“Berrtindak atas maklumat, kira-kira jam 12.45 tengah malam tadi, polis berjaya menangkap suspek di kawasan Bandar Bukit Tinggi.

“Suspek adalah seorang lelaki warga tempatan berusia 33 tahun dan mempunyai 20 rekod jenayah lampau dan lima rekod dadah.

“Siasatan lanjut akan diteruskan berkaitan pembabitan suspek dengan jenayah,” katanya.

Pada masa sama, kejadian itu tidak membabitkan kes tembakan sebagaimana yang didakwa dalam media sosial.

“Itu bukan peluru atau pistol. Itu serpihan kunci pada pinggang mangsa (anggota polis),” katanya.

Sebelum ini, tular dalam media sosial satu video berdurasi satu minit 17 saat yang dirakam orang awam yang berada di lokasi kejadian memaparkan kenderaan suspek melarikan diri dan cuba dihalang oleh kenderaan orang awam yang berada di situ.

Dalam video berkenaan, sebuah kenderaan berwarna putih dipercayai dipandu suspek melarikan diri selepas kejadian itu dan meninggalkan mangsa dalam keadaan terduduk.

Kelihatan orang awam cuba membantu dan bertanyakan keadaan mangsa selain satu objek dipercayai sama ada peluru ataupun kelongsong ditemui seperti paparan video.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img