JIM Johor serbu dua kilang, tahan 80 warga asing kerja tanpa pas sah

KEGIATAN menggaji pekerja asing tanpa dokumen sah di dua kilang di Kawasan Perindustrian Larkin di Johor Bahru terbongkar selepas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 80 warga asing serta seorang pegawai sumber manusia dalam Ops Mahir, semalam.

Serbuan bermula jam 9 pagi itu menyasarkan sebuah kilang komponen jam dan sebuah lagi kilang pengeluar makanan ringan yang menghasilkan produk seperti kek lapis, biskut serta konfeksi coklat.

Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, hasil pemeriksaan mendapati puluhan pekerja asing dipercayai bekerja tanpa pas yang sah selain gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

“Operasi berjaya membongkar penggunaan pekerja asing tanpa pas yang sah apabila seramai 80 warga asing ditahan.

“Mereka dipercayai bekerja tanpa kebenaran, gagal mengemukakan dokumen sah serta melanggar peruntukan Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, warga asing yang ditahan terdiri daripada lima lelaki warga Pakistan, 16 lelaki Bangladesh, sembilan lelaki Indonesia, enam lelaki Myanmar, 13 wanita Indonesia dan 31 wanita Myanmar.

Menurutnya, turut ditahan seorang warga tempatan yang bertugas sebagai pegawai sumber manusia di kilang berkenaan.

Katanya, semua individu yang ditahan berusia antara 19 hingga 48 tahun dan disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Semua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.

Mohd Rusdi berkata, serbuan itu adalah hasil risikan dan pemantauan intensif selama beberapa minggu susulan maklumat mengenai kegiatan majikan yang dipercayai menggajikan pekerja asing secara tidak sah bagi mengurangkan kos penggajian.

Beliau berkata, operasi berkenaan dilaksanakan oleh Bahagian Penguat Kuasa JIM Johor dengan bantuan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS).



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img