POLIS akan merakam keterangan enam individu yang menyertai Ekspedisi Trans Gerah di Gunung Gerah, Kelantan yang ditemukan selamat semalam selepas dilaporkan hilang ketika mendaki gunung itu pada 29 Ogos lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik bagi proses dokumentasi selepas dibawa keluar dari Pos Kemar.

“Kesemua mangsa akan dibenarkan pulang ke tempat masing-masing selepas proses dokumentasi berkenaan. Mereka juga dilaporkan berada dalam keadaan sihat,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian di Gerik hari ini, lapor Bernama.
Terdahulu, Wan Ahmad Aslam Wan Zairudin, 39, dan isteri, Siti Zulaiha Norizan, 39, serta anak Diya Raisha, 13, dan Ahmad Raef, 9, serta dua malim gunung Shafiee Sidek, 49, dan Hazman Mamat, 43, telah dikesan selamat malam tadi sebelum dibawa menjalani pemeriksaan di Klinik Kesihatan Pos Kemar.
Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) bersama kesemua mangsa telah keluar dari Pos Kemar 8.30 pagi tadi dan tiba di Jeti Trojan, Tasik Banding pada jam 10.20 pagi sebelum dibawa ke IPD Gerik.
Sebelum ini, enam mangsa itu dilaporkan hilang selepas mendaki gunung itu pada 29 Ogos. Mereka dilaporkan gagal keluar dari hutan mengikut tarikh dijadualkan, iaitu 3 September dan ahli keluarga membuat laporan polis pada Ahad.
Ditanya sama ada menjadi satu kesalahan pasangan suami itu membawa dua orang anak mereka melakukan aktiviti pendakian tersebut, Mohd Alwi berkata, empat beranak itu mempunyai permit yang sah.
“Sebenarnya, perkara itu (membawa anak mendaki) tidak menjadi satu isu sebab dalam permit itu memang dimasukkan butir-butir berkaitan dengan keluarga mereka,” katanya.





