ENAM termasuk empat beranak dikhuatiri hilang ketika melakukan pendakian Gunung Trans Gerah, Hutan Simpan Kekal Lojing di Gua Musang beberapa hari lalu.
Difahamkan kumpulan pendaki berkeluarga itu membabitkan pasangan suami isteri dan dua anak selain dua malim gunung.
Menurut sumber, kumpulan itu memulakan pendakian pada 29 Ogos lalu dan sepatutnya turun pada Khamis lalu di Pos Kemar, Perak, namun sehingga kini tidak dapat dihubungi.
Kata sumber itu, satu laporan sudah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang berhubung kejadian terbabit.
“Difahamkan kali terakhir ahli keluarga dapat menghubungi salah seorang pendaki terbabit pada pagi 1 September dan dimaklumkan keluarga itu berada dalam keadaan sihat dan selamat.
“Namun selepas itu mereka gagal dihubungi sehinggalah laporan polis dibuat kerana bimbangkan keselamatan mereka,” katanya, lapor Harian Metro.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo mengesahkan pihaknya menerima laporan terbabit.
“Kita ada terima laporan berkenan kejadian itu dan sedang berhubung dengan agensi lain seperti Jabatan Hutan. Kemungkinan besar kumpulan ini sudah melepasi sempadan Kelantan menuju ke Pos Kemar,” katanya.





