NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yakin dengan kesetiaan Ahli Parlimen mewakili parti itu.
Menteri Besar Pahang itu berkata, Ahli Parlimen UMNO tidak akan berpaling tadah menyertai perjuangan melalui platform lain.
“Tak adalah… insya-Allah (Ahli Parlimen UMNO setia dengan parti),” katanya hari ini, lapor BH.
Wan Rosdy mengulas dakwaan bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad bahawa Parti Bersama Malaysia (Bersama) dirisik beberapa Ahli Parlimen daripada Pakatan Harapan (PH) dan parti lain yang menyatakan minat menyertai perjuangan bersama Datuk Seri Rafizi Ramli.
Media semalam melaporkan, bekas Ahli Parlimen Setiawangsa itu menasihati kumpulan Ahli Parlimen terbabit menunggu sehingga pembubaran Parlimen bagi mengelak implikasi, termasuk kestabilan kerajaan.
“Kita ada terima (risikan) daripada wakil rakyat PH dan parti lain yang menyatakan minat untuk masuk Bersama, cuma kita kata buat masa ini kekal dulu. Kami fikir mengenai kesesuaian masa dan sebagainya.
“Bukan orang (Ahli Parlimen) PKR yang empat lima orang itu sahaja, ramai juga daripada PH dan beberapa parti lain tanya. Cuma kami kata tunggu dulu sebab banyak perkiraannya termasuk aspek kestabilan kerajaan, bukan kami tidak fikir benda itu,” katanya.
Pada 18 Mei lalu, Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden PKR dan bekas Menteri Ekonomi mengosongkan kerusi Parlimen Pandan, manakala Nik Nazmi pula mengosongkan kerusi Parlimen Setiawangsa selepas keluar parti bagi memimpin Bersama.
UMNO dan Barisan Nasional (BN) kini mempunyai kira-kira 30 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.


