ANGGOTA Bomba dan Penyelamat berjaya menyelamatkan seorang lelaki berusia 32 tahun seberat 100 kilogram yang cedera dipercayai patah kaki kiri ketika mendaki Air Terjun Jeram Perlus di Hulu Langat, petang semalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 12.58 tengah hari semalam dan tiba di lokasi jam 1.31 petang.
Beliau berkata, seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussein Onn dan BBP Ampang bergegas ke lokasi.
“Sebaik sahaja tiba rakan mangsa memaklumkan seorang lelaki cedera pada bahagian kaki dan tidak boleh berjalan ketika melakukan aktiviti mendaki.
“Mangsa yang dianggarkan seberat 100 hingga 110 kilogram kemudian dibawa turun menggunakan pengusung,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Mukhlis berkata, mangsa berjaya dibawa turun jam 9 pagi ini seterusnya diserahkan pada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dibawa ke Hospital Ampang untuk tindakan selanjutnya.


