SEORANG wanita berdepan detik cemas apabila diacukan parang oleh suaminya selepas menyatakan hasrat untuk bercerai ketika mereka dalam perjalanan dari Tawau ke Semporna, Jumaat lalu.
Kejadian dipercayai berlaku selepas kenderaan dipandu suspek berusia 40-an itu berhenti di kawasan Check Point, Kilometer 52, Tawau.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, suspek yang juga lelaki tempatan berjaya dikesan di Bandar Tawau sebelum ditahan kira-kira jam 2 pagi.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa, wanita warga asing berusia 30-an, ketika itu bersama suspek dalam perjalanan dari Tawau ke Semporna sebelum suspek memberhentikan kenderaan mereka di lokasi kejadian.
“Suspek kemudiannya keluar dari kenderaan menuju ke bahagian belakang sebelum mengambil sebilah parang pendek dan mengacukannya ke arah mangsa yang berada di dalam kereta sambil mengeluarkan kata-kata ugutan.
“Mangsa dan suspek kemudian bergelut bagi merampas parang berkenaan sebelum mangsa membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Menurut beliau, siasatan lanjut mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada hasrat mangsa untuk bercerai dengan suspek.
“Turut dirampas sebuah kenderaan berserta anak kunci.
“Suspek ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.
Wilynton menegaskan pihak polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang melakukan ugutan jenayah serta memastikan keselamatan mangsa sentiasa diberi perhatian.





