SEORANG wanita lemas ketika melakukan aktiviti berakit (rafting) berkumpulan di Sungai Pertak, Kuala Kubu Baru hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Negeri Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ashrul Riezal Asbar memaklumkan rakit dinaiki mangsa bersama lima rakannya telah terjatuh dan terbalik di jeram pertama sungai itu sekali gus menyebabkan kesemua mereka tercampak keluar dari rakit terbabit.
Beliau berkata mangsa didapati tersangkut di dasar sungai dan rakan mangsa telah cuba untuk menyelamatkannya dari halangan tersebut.
“Pihak bomba yang tiba kemudian telah membantu membawa mangsa ke kawasan selamat namun pegawai perubatan KKM telah sahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.





