Wanita Rohingya ditahan buang janin baru dilahirkan

SEORANG wanita etnik Rohingya berusia 19 tahun ditahan selepas disyaki membuang janin yang baru dilahirkannya di dalam tandas sebuah hotel di Bukit Indah di Iskandar Puteri awal bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, polis menerima maklumat mengenai penemuan janin yang dibungkus dalam plastik di sebuah lorong sekitar Taman Nusa Idaman, Bukit Indah pada jam 2.39 pagi pada 5 Julai lalu.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat itu, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun di lokasi penemuan janin kira-kira jam 4 pagi hari yang sama dan wanita berkenaan di sebuah hotel di kawasan Bukit Indah.

“Siasatan mendapati janin yang ditemukan adalah anak kepada suspek wanita yang baru dilahirkan hasil hubungan dengan bekas teman lelakinya.

“Suspek dipercayai melahirkan bayi itu di dalam tandas bilik hotel sebelum memasukkannya ke dalam beg plastik berwarna hitam dan membuangnya melalui tingkap bilik di tingkat dua hotel ke lorong di bawah bangunan terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, hasil semakan mendapati suspek lelaki mempunyai dua rekod jenayah lampau membabitkan kes jenayah dan dadah, manakala suspek wanita tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Katanya, ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua suspek juga didapati negatif dadah.

Beliau berkata, lelaki terbabit ditahan reman selama empat hari bermula 5 hingga 8 Julai lalu, manakala wanita berkenaan ditahan reman selama 14 hari bermula 5 Julai lalu hingga esok mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 bagi membantu siasatan lanjut.

Katanya, kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Johor dan suspek wanita didakwa di Mahkamah Johor Bahru hari ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, manakala suspek lelaki dijadikan saksi pendakwaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum gantung sampai mati atau dipenjarakan selama tempoh tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img