SEORANG wanita berusia 36 tahun kerugian sebanyak RM41,215 selepas terperdaya dengan penipuan kerja dan pelaburan tidak wujud dalam talian, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Muallim Superintenden Khalid Mohamad berkata mangsa menerima tawaran kerja melalui aplikasi WhatsApp pada 13 September lepas dengan tawaran ganjaran bagi melaksanakan tugasan penilaian barangan di platform Shopee.
Beliau berkata mangsa kemudian diarahkan membuat beberapa pemindahan wang ke akaun bank yang diberikan suspek.
“Pada 15 September, mangsa membuat enam transaksi berjumlah RM41,215 sebelum diminta membuat bayaran tambahan sebanyak RM32,800. Mangsa menyedari dirinya ditipu dan tidak meneruskan bayaran tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khalid menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dan tidak mudah mempercayai tawaran kerja serta pelaburan yang dipromosikan dalam talian melalui laman sosial ataupun secara bersemuka, selain membuat semakan dengan agensi berkaitan.





