Anwar calon PM paling menonjol, dapat sokongan tinggi Malaysia Timur – kajian

*Khairy,Onn Hafiz  turut tersenarai * Ahmad Samsuri dapat penilaian tinggi integriti, tadbir urus baik, keupayaan pacu ekonomi

DATUK Seri Anwar Ibrahim merupakan antara  pemimpin paling menonjol untuk menjadi Perdana Menteri bersama dua lagi pemimpin muda iaitu bekas Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Menurut kajian firma penyelidikan Vodus Research bertajuk ‘Malaysia Prime Minister Candidate Study 2026 yang melibatkan  1,482 rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas dari 18 Ogos hingga 1 Sept mendapati Anwar yang menyandang jawatan itu mencatat tahap penerimaan tertinggi pada 46%, manakala 34% responden memilihnya sebagai pilihan utama.

“Beliau juga tokoh paling dikenali, dengan 93% responden mengetahui mengenainya,” kata Vodus Research dalam kenyataan hari ini.

Apa yang menarik kajian itu menunjukkan sokongan terhadap Anwar lebih tinggi di Malaysia Timur, dengan 41% responden memilihnya sebagai pilihan utama berbanding 28% di Semenanjung.

Vodus Research berkata setiap tokoh mendapat sokongan atas faktor yang berbeza, dengan Khairy yang merupakan bekas Menteri Kesihatan dipilih sebagai alternatif utama kepada Anwar dari segi imej peribadi.

“Kepimpinan yang kuat dan berkebolehan, visi yang jelas untuk negara serta kebolehpercayaan antara faktor utama yang disebut. Tahap penerimaannya sebanyak 32% meletakkannya di tempat kedua bagi ukuran itu, walaupun sokongan sebagai pilihan utama adalah lebih rendah,” kata kenyataan tersebut.

Bagi pemimpin yang berada di peringkat negeri Onn Hafiz mendapat sokongan berikutan keyakinan terhadap kepimpinan, kebolehpercayaan dan keupayaan beliau memacu ekonomi.

Vodus Research berkata profil Onn Hafiz di peringkat nasional masih mempunyai ruang untuk berkembang. Kajian itu merekodkan tahap penerimaan 17% terhadap beliau dengan tahap pengenalan nasional sebanyak 42%.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr.Ahmad Samsuri Mokhtar pula mendapat penilaian tinggi dari segi integriti, tadbir urus baik dan keupayaan memacu ekonomi.

Bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli kekal dikaitkan dengan reformasi institusi, dengan responden yang berpandangan positif terhadapnya turut melihat komitmennya memerangi rasuah sebagai antara kekuatannya.

Bagaimanapun, Rafizi mencatat kadar penolakan 20%, sekali gus mempengaruhi tahap penerimaan keseluruhannya.

Pengasas Vodus Research Kelvin Goh berkata penilaian orang ramai terhadap bakal pemimpin negara lebih kompleks daripada sekadar pertandingan populariti kerana seseorang tokoh yang mencatat prestasi baik dalam satu aspek tidak semestinya mendahului dalam aspek lain.

Beliau berkata sokongan lebih tinggi terhadap Anwar di Malaysia Timur mungkin sebahagiannya berkait dengan tumpuan pentadbirannya terhadap Sabah dan Sarawak.

Ini termasuk perkembangan dalam perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), hak hasil Sabah serta kawalan lebih besar Sarawak terhadap sumbernya.

“Perkembangan ini memastikan isu pelaksanaan janji kerajaan Persekutuan, hak negeri dan keadilan fiskal terus mendapat perhatian di rantau itu, yang mungkin mengukuhkan persepsi terhadap kepimpinan Anwar di sana,” katanya lapor FMT.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here