SEORANG wanita warga emas ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Jalan Tok Guru bersebelahan hotel New Pacific di Kota Bharu, petang ini.
Polis malam ini mengesahkan wanita warga emas itu adalah Fatimah Mat Said berusia 89 tahun.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri berkata, tiada unsur jenayah dikesan dalam kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu, Pegawai Bomba Kanan II Satyuti Satar berkata, pihaknya mengambil masa dua jam untuk mengawal kebakaran itu sebelum dapat membawa keluar mayat mangsa.
“Operasi ditamatkan pada 8.40 malam dan mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya, lapor Harian Metro.
Menurutnya, pasukan seramai 27 anggota juga berjaya mengawal api daripada merebak ke rumah berhampiran.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada jam 5.58 petang dan sebaik sahaja tiba di lokasi, didapati rumah tersebut sudah terbakar hampir 98 peratus.
Punca kejadian masih dalam siasatan, katanya.
Dalam pada itu, seorang suri rumah, Anis Suriati Mohamed kini trauma selepas menyaksikan sendiri jirannya terkorban dalam kebakaran itu.
Menurut Anis Suriati, 45, kejadian berlaku kira-kira 5.30 petang ketika dia sedang minum petang bersama keluarganya di rumah.
“Tiba-tiba saya terdengar dua bunyi dentuman yang kuat. Pada mulanya, saya sangka ada orang bergaduh,” katanya yang mengimbas semula kejadian itu.
Menurutnya, beberapa saat kemudian dia tersedar bahawa bunyi itu datang dari bumbung rumah jirannya yang runtuh.
Apabila Anis bergegas keluar, dia melihat jirannya iaitu wanita warga emas dikenali sebagai Kak Zah, melambai meminta tolong dari celah tingkap.
“Dia (Kak Zah) tinggal bersendirian. Saya dapat lihat api di belakangnya,” katanya yang memaklumkan tragedi itu meninggalkan kesan emosi mendalam kepadanya.
Ibu kepada seorang anak itu berkata, dia segera menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk bantuan, tetapi kebakaran semakin marak dan cepat merebak.
“Saya dengar dia meminta bantuan dari tingkap. Selepas itu, saya melihat dia jatuh,” katanya dalam suaranya yang terputus-putus dan sebak apabila menceritakan kembali detik itu.
Menurut Anis, Kak Zah mengalami kesukaran berjalan yang berkemungkinan menyulitkan dirinya untuk keluar menyelamatkan diri dari rumah sedang terbakar.
“Saya rasa sangat tidak berdaya. Tiada apa yang boleh saya lakukan ketika itu selain berdoa dan menunggu bantuan tiba.
“Saya tidak mungkin dapat melupakan saat itu (melihat Kak Zah maut dalam kebakaran),” katanya sebak.


