Ops Khas: JPJ sita enam kereta mewah bernilai RM1.5 juta, 110 motosikal

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita enam kereta mewah dianggarkan bernilai RM1.5 juta atas pelbagai kesalahan dalam Ops Khas di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) dekat Karak di Bentong hari ini.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, salah sebuah kenderaan mewah itu dikesan menggunakan nombor pendaftaran palsu bagi mengaburi pihak berkuasa dan mengelak tindakan undang-undang.

SEBAHAGIAN daripada 110 motosikal yang disita atas pelbagai kesalahan dalam Op Khas JPJ di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) dekat Karak di Bentong hari ini.

“Hasil pemeriksaan mendapati kereta mewah itu menggunakan nombor pendaftaran yang tidak sepadan dengan rekod sebenar kenderaan, sekali gus menimbulkan syak terhadap cubaan mengelak tindakan penguatkuasaan,” katanya dalam sidang media selepas operasi itu di Bentong hari ini, lapor Bernama.

Menurut Muhammad Kifli, siasatan lanjut mendapati kenderaan terbabit turut melakukan kesalahan lain seperti tiada cukai jalan dan perlindungan insurans, sekali gus menjadikan kes itu antara pelanggaran paling serius dikesan sepanjang operasi.

“Siasatan lanjut turut mendapati motif utama pemandu terbabit berbuat demikian adalah untuk mengelak pengesanan kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS),” katanya.

Beliau berkata, kesalahan menggunakan nombor pendaftaran palsu itu disiasat di bawah Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan denda minimum RM5,000 dan maksimum RM10,000, selain tindakan undang-undang lain berkaitan.

“Baki kereta mewah lain yang disita dalam Ops sama didapati melakukan pelbagai kesalahan jalan raya antaranya tidak memiliki lesen memandu, cukai jalan dan pelindungan insurans,” katanya.

Selain kereta mewah terbabit, Muhammad Kifli berkata, pihaknya turut menyita 15 kereta, lapan motosikal berkuasa tinggi, 102 buah motosikal di bawah 250cc dan masing-masing sebuah van dan lori.

Dalam operasi yang bermula jam 6 pagi hingga 1 petang itu, beliau berkata, JPJ turut mengeluarkan sebanyak 1,203 notis atas pelbagai kesalahan.

“Ops Khas ini melibatkan kerjasama JPJ Pahang, Selangor, Negeri Sembilan dan Ibu Pejabat, dengan sokongan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pihak berkuasa tempatan. Seramai 183 anggota JPJ digerakkan dengan tumpuan penguatkuasaan di LPT1 melibatkan laluan Gombak hingga Karak,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Kifli memberi amaran tegas bahawa JPJ tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan drastik termasuk sitaan kenderaan, sama ada motosikal mahupun kereta mewah, sekiranya didapati melanggar undang-undang.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img