WARGA emas didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Georgetown, hari ini selepas mengaku bersalah mencabul kehormatan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun di Air Itam, pada 17 September lalu.
Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi menjatuhkan hukuman itu terhadap Yong Lip Fook, 85, selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara lapan bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan, lapor Harian Metro.
Mengikut pertuduhan, Yong didakwa melakukan kekerasan jenayah terhadap remaja itu dengan niat mencabul kehormatannya di dalam lif sebuah flat di Tingkat Paya Terubong, Air Itam, kira-kira jam 4 petang pada 17 September lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Danial Amir Saad, manakala tertuduh diwakili peguam Sharmila Shanthini Mogan.
Terdahulu, Ahmad Danial memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh, manakala Sharmila memohon hukuman diringankan atas faktor kesihatan anak guamnya yang menghidap penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi.
Peguam itu turut memaklumkan tertuduh tidak bekerja dan berada di bawah tanggungan anaknya, selain memberi kerjasama dengan hadir ke mahkamah serta berjanji tidak mengulangi kesalahan.
Denda berkenaan kemudian dibayar oleh anak tertuduh.




