MCMC,PDRM perhebat usaha banteras jenayah seksual kanak-kanak di ruang digital

SURUHANJAYA  Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan terus bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memperhebat usaha membanteras kegiatan jenayah seksual terhadap kanak-kanak di ruang digital.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, MCMC berperanan membantu khususnya Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) PDRM mengesan pihak yang menyalahgunakan rangkaian dan kemudahan komunikasi untuk melakukan jenayah.

Beliau berkata, tindakan tegas perlu diambil terhadap pihak yang menjadikan wanita dan kanak-kanak sebagai mangsa.

“Selain menjalankan tugasan agensi dari aspek teknikal dan forensik, MCMC juga melalui Akta Keselamatan Dalam Talian memberi penegasan kepada platform-platform media sosial untuk memastikan persekitaran platform itu sentiasa selamat.

“Terutamanya golongan wanita dan kanak-kanak bawah usia 18 tahun yang tidak dibenarkan membuka akaun media sosial. Ini bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa pedofil seperti yang telah ditangkap,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Jasamu Dikenang Kementerian Komunikasi di Putrajaya hari ini, yang menyaksikan seramai 157 pegawai bersara menamatkan perkhidmatan.

Fahmi menjelaskan, usaha bersepadu antara MCMC, PDRM dan penyedia platform digital penting, bagi memastikan kandungan berbahaya dapat dikesan, diturunkan dan tindakan penguatkuasaan diambil terhadap pihak terbabit.

Pada Selasa lalu, Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M. Kumar memaklumkan lapan remaja antara 53 individu ditahan dalam Op Pedo Bersepadu PDRM-MCMC 3.0 yang dilaksanakan di seluruh negara dari 14 hingga 16 September.

Operasi turut menemukan 540,127 fail bahan penderaan seksual kanak-kanak dan 113,066 fail pornografi dewasa.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here