AHLI Parlimen Pasir Gudang dari Pakatan Harapan Hassan Karim hari ini meminta bekas Menteri Pertahanan dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan diheret ke mahkamah berhubung isu kapal LCs.
Ketika membahaskan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) di Dewan Rakyat, Hassan berkata, itu merupakan perkara besar seperti mana skandal 1MDB, Lembaga Tabung Haji (TH) mahupun Felda.
Oleh itu beliau menggesa pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar menyiasat pihak yang terlibat dengan projek itu sejak tahun 2013.
“Dari 2013 hingga 2026, 13 tahun sebanyak lima kali kerajaan telah bertukar dan sebanyak lima Menteri Pertahanan dalam tempoh 13 tahun itu saya tak tahu berapa ramai Ketua Setiausaha yang yang terlibat dalam perolehan ini.
“Jangan jeneral-jeneral sahaja yang disiasat diheret ke mahkamah, dituduh, setakat ini panglima tentera darat diheret ke mahkamah. Saya lihat lima Menteri Pertahanan dari dulu sampai sekarang dan Ketua Setiausaha ni bukannya maksum, bukannya malaikat, siasat mereka,” katanya lagi.
Isnin lalu, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2026 mendapati projek LCS mengalami kelewatan sebanyak 7.55 peratus setakat 25 Jun, sekali gus menjejaskan penyerahan fizikal LCS 1.
Kelewatan itu hadir ketika Sistem Pelancar NSM masih belum tersedia susulan pembatalan kekal permit eksport oleh kerajaan Norway.
Kementerian Pertahanan dalam maklum balas terhadap laporan berkenaan memaklumkan LCS 1 tidak dapat beroperasi pada keupayaan penuh tanpa sistem berkenaan dipasang.
Bagaimanapun, kementerian itu boleh mempertimbangkan penyerahan bersyarat, manakala kontraktor masih terikat secara kontrak untuk memasang dan mengintegrasikan sistem berkenaan.
Dalam perbahasan itu juga Hassan mengingatkan kerajaan supaya tidak menggunakan duit rakyat untuk “bail out” atau menyelamatkan syarikat penerbangan swasta yang berdepan masalah hutang.
Beliau tidak menyebut nama syarikat penerbangan yang dimaksudkan tetapi sekadar menyebut slogan ‘semua orang boleh terbang’.
“Saya minta kerajaan jangan gunakan duit cukai rakyat untuk bail out kalau ada syarikat-syarikat swasta… misalnya saya diberitahu ada syarikat besar, syarikat kapal terbang negara kita dengan cogan kata semua orang boleh terbang saya tak nak sebut nama syarikat itu sepenuhnya.
“Jadi sekiranya syarikat ini ketuk pintu Kementerian Kewangan minta tolong kerajaan saya harap kerajaan tolak, sebab kerajaan berhutang, walaupun syarikat ini penting. Tetapi saya dimaklumkan tauke-taukenya, pemegang-pemegang sahamnya, harta dia berbilion, jadi selamatkanlah syarikat mereka sendiri, kerajaan ada urusan yang lain,” katanya
Beliau dipercayai merujuk masalah yang dihadapi syarikat penerbangan Air Asia yang kini berdepan masalah kewangan, antara lain susulan kenaikan kos bahan api yang melambung tinggi akibat konflik berkaitan Iran.





