Wartawan terkenal di Gaza, Saleh Aljafarawi dibunuh oleh militia upahan rejim Zionis

Pihak berkuasa Israel telah meletakkan nama Aljafarawi dalam senarai “red notice” kerana liputannya mengenai jenayah perang dan dasar kepungan Israel

Wartawan Palestin Saleh Aljafarawi, antara wartawan paling terkenal di Gaza, terbunuh semalam (waktu Malaysia) selepas ditembak oleh kumpulan bersenjata di kawasan al-Sabra, selatan Bandar Gaza hanya beberapa hari selepas pengumuman gencatan senjata di wilayah yang musnah akibat perang itu.

Menurut sumber media Palestin, wartawan berusia 28 tahun itu ditembak oleh anggota militia bersenjata yang dikaitkan dengan rejim Zionis ketika membuat liputan pertempuran di kawasan berkenaan.

Saksi berkata Aljafarawi dikepung dan ditembak mati dengan beberapa das tembakan. Imej yang tersebar di media sosial menunjukkan tubuhnya terbaring tidak bernyawa sejurus selepas kejadian.

Saleh Aljafarawi memiliki suara merdu dan sering menjadi imam di masjid-masjid Gaza.

Media Quds News Network dan Al-Arabi Al-Jadeed mengesahkan bahawa Aljafarawi telah “disasarkan dan dibunuh” oleh kumpulan kolaborator yang disokong Israel ketika beliau sedang mendokumentasikan kemusnahan besar di kawasan Sabra selepas pengunduran tentera Israel dari Bandar Gaza.

Sementara itu, Al Jazeera, yang memetik sumber keselamatan daripada Kementerian Dalam Negeri Gaza, melaporkan bahawa pertempuran tercetus antara pasukan keselamatan Gaza dan militia bersenjata yang dikaitkan dengan tentera Israel, mengakibatkan beberapa orang terbunuh dan yang lain cedera. Pasukan keselamatan kemudiannya mengelilingi kawasan berkenaan dan berjaya mengembalikan kawalan sepenuhnya.

Sumber sama memaklumkan bahawa sekitar 60 anggota militia telah ditahan dan dibawa ke lokasi selamat untuk disoal siasat, manakala beberapa suspek yang dituduh membunuh penduduk Palestin yang pulang ke Bandar Gaza serta bersekongkol dengan Israel turut terbunuh dalam pertempuran tersebut.

Saleh Aljafarawi bersama wartawan Anas Al-Sharif yang turut dibunuh oleh rejim Zionis.

Dalam satu kenyataan, Pejabat Media Kerajaan Gaza mengecam pembunuhan Aljafarawi, menyifatkannya sebagai “akibat langsung daripada dasar berterusan Israel yang menyasarkan wartawan Palestin melalui serangan udara dan militia proksi.”

Aljafarawi menjadi antara wartawan paling dikenali di Gaza sepanjang dua tahun perang Israel terhadap wilayah itu, menggunakan kameranya dan platform media sosial untuk mendokumentasikan penderitaan serta kemusnahan yang menimpa rakyatnya.

 Awal minggu ini, rakaman video beliau meraikan pengumuman gencatan senjata tular di media sosial, menjadi simbol sekelumit kegembiraan di tengah-tengah kehancuran bertahun-tahun.

Beliau juga terkenal  memiliki suara merdu dan sering menjadi imam di masjid-masjid Gaza.

Media Palestin sebelum ini melaporkan bahawa pihak berkuasa Israel telah meletakkan nama Aljafarawi dalam senarai “red notice” kerana liputannya mengenai jenayah perang dan dasar kepungan Israel – satu taktik yang turut digunakan terhadap wartawan lain yang telah dibunuh, termasuk Anas al-Sharif.

Kematian beliau berlaku ketika fasa awal pelaksanaan gencatan senjata yang ditaja Amerika Syarikat, yang merangkumi pengunduran tentera Israel, pertukaran tahanan, serta pembukaan semula lintasan sempadan bagi penghantaran bantuan kemanusiaan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img