13 Julai depan tarikh baharu keputusan rayuan akhir pendakwaan kes Syed Saddiq

RAYUAN akhir pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan diputuskan pada 13 Julai ini.

Kes Syed Saddiq yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan akan menjadi individu bebas atau berdepan hukuman penjara berkaitan pertuduhan rasuah apabila Mahkamah Persekutuan sepatutnya menyampaikan keputusan itu hari ini, tetapi ditangguhkan hingga pertengahan bulan depan.

Pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon keputusan Mahkamah Tinggi dikembalikan, yang sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta terhadap bekas menteri itu.

Keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 November 2023 mendapati beliau bersalah atas empat pertuduhan membabitkan pecah amanah jenayah, salah guna harta secara tidak jujur dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan dana sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia, ARMADA.

Sementara itu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tiba di Istana Kehakiman pada jam 8.50 pagi ini.

Saddiq, 33, yang mengenakan kot hitam dan bertali lahir merah jambu, dilihat tenang ketika disapa petugas media.

Turut hadir, tunangnya, Bella Astillah yang tiba pada jam 7.55 pagi menyerahkan keputusan hakim kepada Ilahi.

“Manusia boleh berusaha, Allah yang menentukan,” jawabnya ringas dengan mengukir senyuman.

Ibu bapa kepada ahli politik itu, iaitu Syed Abdul Rahman Syed Abdullah Al-Sagoff dan Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz, difahamkan tiba lebih awal, iaitu kira-kira jam 7 pagi.

Keputusan akhir pagi ini akan menentukan sama ada Syed Saddiq yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan kekal bebas jika Mahkamah Persekutuan menolak rayuan pendakwaan atau berdepan hukuman penjara jika mahkamah memihak kepada hujahan pendakwa raya.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan merangkumi Presiden Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais, Hakim Che Mohd Ruzima Ghazali dan Collin Lawrence Sequerah dijangka menyampaikan keputusan rayuan akhir pendakwaan terhadap pembebasan Syed Saddiq pada 9 pagi.

Terdahulu, pendakwaan merayu keputusan Mahkamah Rayuan pada 25 Jun tahun lalu, yang melepas dan membebaskan Syed Saddiq, 33, selepas membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang diputuskan Mahkamah Tinggi pada 9 November 2023.

Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali yang ketika itu Penolong Bendahari ARMADA untuk melakukan pecah amanah terhadap dana Armada berjumlah RM1 juta di CIMB Bank Berhad, KL Sentral pada 6 Mac 2020.

Syed Saddiq turut berhadapan pertuduhan menyalahgunakan RM120,000 milik ARMADA Bumi Bersatu Enterprise di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Selain itu, Syed Saddiq turut dituduh melakukan dua transaksi pengubahan wang haram iaitu memindahkan RM50,000 ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 15 tahun serta denda lima kali nilai terbabit.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img