Hakim sakit faktor keputusan rayuan akhir pendakwaan kes Syed Saddiq ditunda 13 Julai

BERIKUTAN situasi yang tidak dijangka, keputusan rayuan akhir pendakwaan terhadap pembebasan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang sepatutnya diputuskan hari ini, ditangguhkan pada 13 Julai ini.

Ia berikutan seorang daripada hakim dalam panel tiga Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, bercuti sakit selama dua hari.

PEGUAM Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Datuk Hisyam Teh Poh Teik (tengah) bercakap kepada media selepas Mahkamah Persekutusan menangguhkan keputusan rayuan kes pendakwaan terhadap Ahli Parlimen Muar itu di Istana Kehakiman Putrajaya hari ini. GAMBAR: Nurul Shafina Jemenon

Perkara itu diumumkan Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais di awal prosiding pada jam 9.30 pagi tadi, iaitu satu-satunya hakim yang menghadiri prosiding ini.

Abu Bakar berkata, beliau dan Datuk Collin Lawrence Sequerah ada di mahkamah, tetapi Che Mohd Ruzima tidak hadir kerana mereka diberitahu beliau tidak sihat dan bercuti sakit selama dua hari bermula hari ini.

“Kami sebenarnya sudah bersedia dengan keputusan, tetapi malangnya perkara yang tidak diduga ini berlaku hari ini, bagaimanapun kami bersedia untuk menyampaikan keputusan pada 13 Julai ini,” katanya.

Sebelum ini, pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon keputusan Mahkamah Tinggi dikembalikan, yang sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta terhadap bekas menteri itu.

Keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 November 2023 mendapati Syed Saddiq bersalah atas empat pertuduhan membabitkan pecah amanah jenayah, salah guna harta secara tidak jujur dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan dana sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia, ARMADA.

Terdahulu, Syed Saddiq tiba di Istana Kehakiman pada jam 8.50 pagi, mengenakan kot hitam dan bertali lahir merah jambu, dilihat tenang ketika disapa petugas media.

Ibu bapa kepada ahli politik itu, iaitu Syed Abdul Rahman Syed Abdullah Al-Sagoff dan Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz, difahamkan tiba lebih awal, iaitu kira-kira jam 7 pagi manakala tunangnya, Bella Astillah tiba jam 7.55 pagi.

Keputusan akhir pagi ini sepatutnya menentukan sama ada Syed Saddiq yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan kekal bebas jika Mahkamah Persekutuan menolak rayuan pendakwaan atau berdepan hukuman penjara jika mahkamah memihak kepada hujahan pendakwa raya.

Terdahulu, pendakwaan merayu keputusan Mahkamah Rayuan pada 25 Jun tahun lalu, yang melepas dan membebaskan Syed Saddiq, 33, selepas membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang diputuskan Mahkamah Tinggi pada 9 November 2023.

Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali yang ketika itu Penolong Bendahari ARMADA untuk melakukan pecah amanah terhadap dana Armada berjumlah RM1 juta di CIMB Bank Berhad, KL Sentral pada 6 Mac 2020.

Beliau turut berhadapan pertuduhan menyalahgunakan RM120,000 milik ARMADA Bumi Bersatu Enterprise di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Selain itu, Syed Saddiq turut dituduh melakukan dua transaksi pengubahan wang haram iaitu memindahkan RM50,000 ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 15 tahun serta denda lima kali nilai terbabit.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img