SEBANYAK 14 lelaki termasuk dua remaja bawah umur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Gurun hari ini atas pertuduhan membunuh seorang remaja lelaki berusia 18 tahun sebelum mayatnya dibuang di tepi jalan, minggu lalu.
Tertuduh ialah Muhammad Asyraaf Muhammad Zaidi, 20; Muhammad Azrul Rahimi Muhamad Yusri, 18; Ahmad Izzul Irfan Ridduan, 21, Muhammad Rhahimy Abdul Rashid, 19; Yusman Hakimi Yusmezal 24; Muhammad Zulfaqar Zulkarnain Khairol Fais, 21.
Turut dituduh Muhammad Aiman Riduwan Abdullah, 21; Ahmad Aiman Danial Ahmad Wizam, 21; Syafiq Afif Syarafuddin Abd Ghapar, 23; Muhammad Adam Iqbal Mohd Wazir, 19; Muhammad Muqkriz Azizan, 21, dan Muhammad Adam Haris Rosdan, 21.
Dua lagi tertuduh bawah umur berusia 16 dan 17 tahun, lapor BH.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh secara bersama didakwa membunuh Muhammad Haikal Mohd Shahrill Nizam, 19.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Sungai Petani-Gurun dalam Daerah Kuala Muda antara jam 9 malam, 5 Oktober hingga jam 7.30 pagi, 8 Oktober lalu.
Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung atau penjara maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum gantung, boleh dikenakan minimum 12 kali sebatan.
Pendakwaan dilakukan Nik Nurharizah Tuan Yahya dengan tiga tertuduh diwakili peguam Mohamad Ashraf Ahmad Sohaimi manakala tertuduh lain tidak diwakili peguam.
Pihak pendakwaan memaklumkan tiada jaminan ditawarkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mahkamah menetapkan 23 Disember depan untuk tarikh sebutan semula dan proses serahan dokumen berkaitan.
Terdahulu, Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah dalam sidang media pada Isnin lalu memaklumkan penemuan mayat remaja lelaki dalam semak berhampiran Jalan Harvard di Gurun pada Khamis lalu.
Katanya, mangsa dipercayai dikurung dua hari, diseksa dan digunting rambut selepas dituduh mencuri motosikal.
Mangsa turut dipukul dengan objek tumpul sehingga meninggal dunia sebelum mayatnya dibuang di tepi jalan di lokasi berkenaan.





