Bekas Pengarah UKMShape didakwa salah guna kedudukan babit kontrak RM3.12 juta

BEKAS Pengarah UKMShape, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas dua pertuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan membabitkan kontrak perkhidmatan bernilai keseluruhan RM3.12 juta.

Tertuduh, Datuk Muhammad Hussin membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Nasir Nordin.

Mengikut pertuduhan, beliau didakwa menggunakan kedudukannya untuk mempengaruhi Ahli Lembaga Koperasi Siswazah Bangi Berhad (KSBB) dalam mesyuarat lembaga koperasi berkenaan bagi memberikan kontrak pengendalian program kepada QTech Management Malaysia Sdn Bhd, syarikat milik anak-anaknya.

TERTUDUH, Datuk Muhammad Hussin mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan membabitkan kontrak perkhidmatan bernilai keseluruhan RM3.12 juta, di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini. GAMBAR: Ahmad Amirul Fahmi Ahmad Pauzi

Kontrak pertama membabitkan program Sarjana Pendidikan (Master of Education) bernilai RM1.2 juta yang diputuskan pada 26 Februari 2022.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama berkaitan kontrak program Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (Post Graduate Diploma of Education) bernilai RM1.92 juta pada 25 Jun 2022.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM80,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia.

Hakim Mohd Nasir turut menetapkan syarat tambahan supaya tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muaz Ahmad Khairuddin manakala tertuduh diwakili peguam Nurul Atikah Rosli dan Wafian Anwar Roslan daripada Tetuan A M Zaharil & Co.

Mahkamah kemudian menetapkan 12 November 2026 untuk pengurusan kes seterusnya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here