16 bekas tentera mula tugas sebagai warden MRSM, 16 lagi warden wanita bakal menyusul

SEBANYAK 16 bekas anggota tentera mula melaporkan diri sebagai warden lelaki di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), sekali gus menandakan permulaan pelaksanaan inisiatif baharu Mara bagi memperkukuh keselamatan, kebajikan dan disiplin pelajar di institusi berkenaan.

Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kesemua mereka mula bertugas Isnin lalu dengan menghadiri sesi taklimat dan pengenalan bersama pihak pengurusan maktab.

GAMBAR: Facebook Dr Asyraf Wajdi Dusuki

Menurutnya, seramai 16 lagi warden wanita daripada kalangan bekas tentera akan menyusul minggu hadapan.

“Mereka diwajibkan menghadiri sesi orientasi dan pengenalan maktab yang dikendalikan oleh pengetua MRSM terlibat.

“Sesi ini bertujuan memberikan pendedahan awal berkaitan struktur pengurusan maktab, peraturan serta peranan dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh para warden,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

DATUK Dr Asyraf Wajdi Dusuki

Beliau berkata, setiap MRSM yang terlibat diperuntukkan empat warden sepenuh masa, terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita.

Katanya, fasa pertama melibatkan 10 MRSM iaitu MRSM Besut, Balik Pulau, Muadzam Shah Rompin, Sultan Azlan Shah, Serting, Kubang Pasu, Jeli, Parit, Kuala Berang dan Muar.

Menurut Asyraf, inisiatif itu akan diperluaskan ke semua 58 MRSM di seluruh negara bermula 1 Januari 2027.

Beliau berharap bekas anggota tentera yang dilantik dapat menggalas amanah dengan penuh dedikasi dalam membantu pihak pengurusan maktab menjaga kebajikan, keselamatan dan disiplin pelajar.

“Moga-moga hasrat kita untuk menyaksikan MRSM bebas dan sifar buli akan menjadi kenyataan,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img