BAU busuk, sampah bertaburan dan persekitaran tidak terurus antara keadaan yang ditemui dalam serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sebuah rumah kongsi pekerja warga asing di tapak pembinaan di Bukit Wangsamas, Kuala Lumpur, hari ini.
Operasi bermula kira-kira jam 12 tengah hari itu dijalankan menerusi Ops Sasar selepas JIM menjalankan risikan selama dua minggu susulan aduan orang awam.
Tinjauan mendapati rumah kongsi yang menjadi tempat tinggal pekerja warga asing itu dalam keadaan kotor dan daif dengan sampah sarap memenuhi kawasan sekitarnya, lapor Harian Metro.
Turut terdapat sebuah kedai runcit dalam kawasan rumah kongsi berkenaan yang dipercayai dikendalikan warga asing.
Seorang lelaki warga Togo, Afrika berusia 23 tahun antara warga asing yang ditemui di lokasi berkenaan.
Lelaki terbabit mendakwa datang ke Malaysia menggunakan pas lawatan sosial sebelum bekerja di tapak pembinaan berkenaan selepas dimaklumkan rakannya.
“Saya sudah bekerja di sini (tapak pembinaan) selama kira-kira dua bulan dengan menerima upah RM70 sehari.
“Tapi saya sudah berada di Malaysia sejak empat bulan lalu,” katanya.
Lelaki itu turut mendakwa majikannya adalah warga Indonesia, namun mendakwa tidak mengetahui dia sudah tinggal melebihi tempoh ditetapkan.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Malaysia, Datuk Basri Othman berkata, seramai 34 individu diperiksa dalam operasi berkenaan dengan 31 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
“Daripada jumlah itu, 28 adalah lelaki manakala tiga wanita. Semua yang ditahan berusia antara 29 hingga 54 tahun.
“Tahanan terdiri daripada 20 warga Bangladesh, enam Indonesia, seorang Myanmar, dua Nepal dan dua lagi warga negara lain dari Afrika,” katanya.
Beliau berkata, semua tahanan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk siasatan dan tindakan susulan.
Katanya, antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk tiada dokumen pengenalan diri, melanggar syarat pas, tinggal lebih masa, pemegang kad yang tidak diiktiraf serta kesalahan lain di bawah Akta Imigresen.
“Selain itu, satu Borang 29 (Saman kepada Saksi) turut dikeluarkan kepada seorang rakyat Malaysia bagi membantu siasatan,” katanya.





