351 PATI diusir, hampir 4,000 dihantar pulang dari Sabah setakat Jun

SERAMAI 351 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dan Filipina dihantar pulang ke negara asal menerusi Program Pemindahan Tahanan PATI Siri 7/2026 yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, semalam.

Program pemindahan melalui laluan laut itu menjadikan keseluruhan 3,990 PATI telah diusir dari Sabah sepanjang enam bulan pertama tahun ini.

Pengarah JIM Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, daripada jumlah itu, seramai 213 warga Indonesia dari Depot Imigresen Kota Kinabalu, Papar dan Sandakan dihantar pulang menerusi Pelabuhan Tawau ke Pelabuhan Nunukan menggunakan feri.

Menurut beliau, pada masa sama seramai 138 warga Filipina dari Depot Imigresen Tawau dipindahkan melalui Pelabuhan Lahad Datu ke Pelabuhan Bongao, Tawi-Tawi menggunakan feri komersial.

“Keseluruhan tahanan yang dipindahkan terdiri daripada 235 lelaki dewasa, 58 wanita dewasa, 30 kanak-kanak lelaki dan 28 kanak-kanak perempuan berusia antara setahun hingga 75 tahun.

“Kanak-kanak yang mengikuti program pemindahan ini turut diiringi ibu bapa atau penjaga masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semua tahanan terbabit selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang dan memiliki Surat Perjalanan Laksana Pasport (SPLP) atau dokumen perjalanan yang sah.

Menurutnya, setakat ini seramai 2,578 warga Filipina dan 1,207 warga Indonesia telah dipindahkan ke negara asal menerusi program pengusiran yang dilaksanakan JIM Sabah.

Katanya, JIM Sabah akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan selain mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menggaji atau melindungi pekerja asing tanpa dokumen sah.

Majikan yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63 termasuk denda sehingga RM50,000, penjara dan sebatan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img