SERAMAI 39 pemandu, termasuk 38 pemandu kenderaan perdagangan, dikesan positif dadah menerusi Operasi Bersepadu Dadah yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak di seluruh negeri sejak 1 Julai lalu.
Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan berkata, daripada jumlah itu, seorang lagi adalah pemandu kenderaan perkhidmatan awam.
Beliau berkata, hasil saringan mendapati 18 individu terlibat dengan penyalahgunaan ketum, manakala 16 lagi positif methamphetamine, tiga positif morfin dan dua positif ganja.
“Mengikut pecahan lokasi penguatkuasaan, Stesen Penguatkuasaan Gerik (SPG) merekodkan jumlah pemandu positif tertinggi iaitu 11 orang, diikuti Taiping lapan, Seri Manjung dan Tapah masing-masing tujuh, Teluk Intan empat serta Stesen Penguatkuasaan Kuala Kangsar (SPKK) dua kes,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Operasi Bersepadu Dadah di Stesen Penguatkuasaan JPJ Gerik hari ini.
Menurutnya, sepanjang operasi itu, seramai 153 pemandu kenderaan perdagangan dan perkhidmatan awam diperiksa, manakala 27 lesen memandu ditahan untuk tindakan lanjut.
Katanya, daripada jumlah itu, 14 membabitkan Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan 13 lagi Lesen Memandu Kenderaan Barangan (GDL).
“Operasi ini memberi tumpuan kepada pemandu kenderaan perdagangan, kenderaan perkhidmatan awam dan kenderaan pelancongan di lokasi strategik seperti kawasan Rehat dan Rawat (R&R), terminal bas serta lokasi yang dikenal pasti berdasarkan analisis risiko dan maklumat risikan,” katanya.
Mohammad Yusoff berkata, lesen memandu vokasional pemandu yang didapati positif saringan dadah akan ditahan sehingga siasatan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selesai sebelum digantung selama tiga bulan.
Katanya, JPJ juga akan mengambil tindakan terhadap syarikat pengangkutan yang gagal memastikan pemandu mereka bebas daripada penyalahgunaan dadah, termasuk melaksanakan audit bagi memastikan pematuhan terhadap syarat keselamatan dan pengurusan pemandu.
Sementara itu, beliau berkata operasi hari ini dijalankan dengan kerjasama AADK, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Puspakom.
“Operasi bersepadu ini akan diteruskan sepanjang Julai di seluruh Perak pada waktu berbeza dengan kerjasama AADK dan agensi berkaitan bagi memastikan hanya pemandu yang layak, kompeten serta bebas daripada pengaruh dadah dibenarkan mengendalikan kenderaan perdagangan,” katanya.






